Thursday, September 9, 2010

6 warga asing ditahan, dipercayai terbabit kes samun

2010/09/09
JOHOR BAHRU: Enam warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan di sebuah rumah di kawasan setinggan di Majidee semalam, dipercayai terbabit dalam kes samun ke atas tiga wanita di sebuah apartmen di Bukit Saujana pada 3 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Shariff, berkata hasil maklumat awam, pihaknya menyerbu rumah terbabit petang semalam dan menemui pelbagai peralatan termasuk pemain DVD, telefon bimbit, pelbagai beg duit serta sejumlah mata wang asing. "Kesemua suspek yang berusia antara 21 dan 56 tahun itu kini ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini. Dalam kejadian jam 2.30 petang pada 3 September lalu, sekumpulan lelaki Indonesia bersenjatakan pisau menyamun tiga wanita di sebuah apartmen di Bukit Saujana dan melarikan wang tunai RM14,250 serta komputer riba, telefon bimbit, dokumen bank dan dokumen diri mangsa.

Mengulas kes lain, Mokhtar berkata, polis di Yong Peng sudah menahan empat lelaki tempatan pada jam 3 pagi Jumaat lalu dipercayai sedang bersedia untuk melakukan samun berkumpulan.

Kumpulan lelaki itu yang menaiki sebuah kereta dikesan dalam keadaan mencurigakan di Parit Yaani dan apabila dihampiri kereta peronda polis mereka bertindak memecut melarikan diri.

Bagaimanapun, katanya, kereta tersebut berjaya dipintas di lampu isyarat di Taman Kota dan kesemua mereka yang berusia antara 23 dan 36 tahun ditahan.
“Polis menjumpai sebilah pedang samurai, sebilah parang, tiga playar, sebilah pisau lipat dan empat topeng ski dari kereta tersebut,” katanya.

Dua daripada lelaki berkenaan juga didapati mempunyai tujuh rekod lampau bagi kesalahan jenayah kekerasan membabitkan kes samun dan pernah ditahan di pusat pemulihan akhlak Simpang Renggam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 399 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

Post a Comment