Thursday, September 9, 2010

Perompak hentak dua peniaga Pasar Borong Menglembu dengan pistol

2010/09/09
IPOH: Dua peniaga pasar borong cedera di kepala selepas dihentak dengan senjata dipercayai pistol oleh sekumpulan lelaki yang merompak mereka di Pasar Borong Menglembu di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ibrahim Abu Bakar, berkata, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 40-an yang mengalami kecederaan itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan. Kejadian berlaku pada jam 8 malam ketika lima peniaga pasar borong di Menglembu sedang makan dan minum apabila dihampiri empat perompak, dua daripadanya bersenjatakan pistol manakala dua lagi parang. ”Seorang daripada perompak itu melepaskan satu das tembakan ke udara menyebabkan tiga peniaga terbabit melarikan diri,” katanya di sini, hari ini.

Ibrahim berkata, dua peniaga terbabit yang tidak sempat melarikan diri telah dicederakan oleh suspek dengan menghentakkan senjata itu di kepala mereka.

Beliau berkata, empat perompak kemudian melarikan beg milik mangsa yang mengandungi wang tunai RM3,000 serta sebuah beg lagi yang juga mengandung wang tunai tetapi tidak diketahui jumlahnya.

Katanya, keempat-empat perompak kemudian melarikan diri dengan menggunakan sebuah kereta jenis Nissan.
Setakat ini, belum ada tangkapan dibuat dan polis meminta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan. - Bernama

No comments:

Post a Comment