Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Suhana Roslan
2010/10/01
Tindakan tatatertib kepada anggota tidak cekap, amanah
KUANTAN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi jaminan akan menyiasat secara menyeluruh kes 10 anggota polis, termasuk seorang berpangkat inspektor yang mencuri kira-kira 40 kilogram syabu daripada lebih 700 kilogram yang dirampas dalam serbuan di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin, Mei tahun lalu.
Katanya, beliau telah mengarahkan agar siasatan dalaman dapat dijalankan secara terperinci dan tindakan diambil ke atas mereka. Siasatan sedang dijalankan, kita tidak mahu perkara seperti ini berulang lagi, katanya mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan membebaskan tertuduh yang juga pemandu lori yang ditangkap membawa dadah itu, Lee Yong Toe, 48, kelmarin. Rampasan syabu seberat 753,539 gram bernilai lebih RM270 juta itu dipercayai terbesar dalam sejarah negara mendapat perhatian apabila Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir dalam penghakimannya membebaskan Lee, kelmarin, mempersoalkan tindakan polis dan pendakwa raya.
Akhtar menyifatkan perbicaraan kes itu penuh dengan kontroversi selepas mahkamah dimaklumkan mengenai laporan palsu oleh pengadu dan salah laku beberapa anggota polis yang menjadi saksi kes.
Katanya, selain gagal membuktikan dadah itu milik tertuduh, pihak pendakwa juga tidak memanggil dua saksi penting yang berkaitan kes berkenaan.
Seorang saksi pendakwa juga mengaku dia salah seorang daripada sekumpulan anggota polis mencuri satu paket mengandungi syabu (kira-kira 40 kilogram), namun hanya dikenakan tindakan tahan kenaikan pangkat dan pergerakan gaji.
Sepatutnya, seseorang yang melakukan kesalahan sedemikian dikenakan dakwaan jenayah dan dihantar ke penjara bagi kesalahan mencuri, katanya.
Akhtar juga berpendapat anggota polis yang bersubahat menyediakan laporan palsu dan mereka yang melakukan kecurian dadah itu dikenakan hukuman berat dan meminta pendakwa raya mendakwa semua mereka yang terbabit kerana mereka sudah mengaku melakukan kesalahan.
Ditanya isu sama, Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani, berkata semua 10 anggota polis termasuk inspektor terbabit sudah dikenakan tindakan penahanan pergerakan gaji antara enam hingga 12 bulan, selain ditukar tempat kerja, sejak bulan lalu.
Bagaimanapun, katanya, semua mereka dibenarkan bertugas seperti biasa.
Ditanya sama ada siasatan lanjut akan dilakukan terhadap semua anggota dan pegawai polis terbabit, Robiah berkata, pihaknya menunggu arahan lanjut pihak pendakwa raya.
Dalam pada itu, Pemangku Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata selain digantung pergerakan gaji, mereka juga diberi surat amaran.
Othman mengakui tindakan tatatertib diambil terhadap semua mereka kerana mendapati mereka tidak amanah, selain pegawai penyiasat tidak cekap dalam menjalankan tugas.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin yang mengendalikan kes itu, berkata setakat ini beliau tidak menerima arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berhubung penghakiman Akhtar.
Terpulang kepada Peguam Negara dan pihak berkuasa untuk bertindak namun setakat ini belum ada arahan lagi, katanya
Thursday, September 30, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment