Thursday, September 2, 2010

Malaysia bukan pusat proses, edar syabu utama di dunia

2010/09/02
KUALA LUMPUR: Malaysia bukanlah pusat pemprosesan dan pengedaran dadah jenis syabu utama di dunia walaupun banyak rampasan dadah terbabit, yang bernilai jutaan ringgit, dilakukan kebelakangan ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata selepas diselidik, kebanyakan dadah yang dirampas itu berasal dari negara luar yang dibawa oleh warga asing untuk kegunaan warga mereka sendiri seperti pelajar dan pelancong. "Kebanyakan dadah yang dibawa masuk adalah dadah jenis end-product (yang telah disiapkan), dan bukannya dadah yang diproses di negara ini." "Dadah itu adalah untuk kegunaan rakan senegara mereka sendiri seperti dari Nigeria, Turki, Iran dan terbaru Bulgaria," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Pengarah JSJN, Datuk Zulhasnan Najib Baharudin kepada beliau di Bukit Aman di sini hari ini.

Majlis itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Othman berkata usaha warga asing untuk menjadikan negara ini sebagai pusat pengedaran dan pemprosesan dadah dengan mewujudkan makmal dadah haram sejak 2006 gagal apabila seringkali dihapuskan pihaknya.
"Sejak 2006 hingga kini, kita telah menyerbu 14 buah makmal memproses dadah jenis syabu dan heroin terbesar di negara ini, ia telah berkurangan dan sukar untuk dikesan.

"Kami juga berjaya menangkap 89 orang warga Iran dan merampas dadah jenis syabu sebanyak 245kg bernilai hampir RM6 juta pada tahun ini sahaja," katanya.

Justeru, katanya dadah boleh didapati dari mana-mana negara sekalipun memandangkan penyalahgunaan bahan terlarang itu adalah masalah global.

"Tidak semestinya negara ini sahaja yang dijadikan tempat memproses dadah. Sumber boleh datang dari mana-mana. Dadah masalah global, bukan berlaku di negara kita sahaja," katanya.

Othman berkata Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC), sebuah agensi antarabangsa yang ditubuhkan bagi menjelaskan kepada dunia akan bahaya pengedaran dan penyalahgunaan dadah, tidak pernah meletakkan Malaysia sebagai pusat pengedaran atau pemprosesan dadah.

Katanya kerjasama berterusan semua pihak perlu dalam menyalurkan maklumat mengenai mana-mana kes dadah untuk mengelakkan negara ini digelar sebagai pusat pengedaran dan pemprosesan dadah.

Sementara itu, Zulhasnan yang telah berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun akan bersara wajib pada 12 September ini.

Menurut kenyataan Bukit Aman, sepanjang tempoh tiga tahun Zulhasnan menjadi pengarah, prestasi jabatan telah meningkat sebanyak 19 peratus pada 2009 berbanding 2008.

Prestasi tangkapan keseluruhan jabatan meningkat sebanyak 37 peratus , iaitu tahap tertinggi sepanjang jabatan ini ditubuhkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment