Monday, September 27, 2010

Penyeludup senjata api diberkas

Ghazali Mohd. Amin (kiri) menunjukkan pistol jenis Glock yang dirampas daripada seorang lelaki di Changlun, kelmarin.

--------------------------------------------------------------------------------



KANGAR 27 Sept. - Seorang lelaki yang disyaki menjadi perantara sindiket penyeludup senjata api di negara jiran ditahan bersama sepucuk pistol automatik dan 40 butir peluru di Changlun, Kedah, semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Ghazali Md. Amin berkata, lelaki berusia lewat 20-an yang juga peniaga pasar malam di Kedah, ditahan hasil risikan pihaknya sejak seminggu lalu.

Katanya, ketika ditahan, suspek memandu kereta Proton Waja, di lampu isyarat pekan tersebut pukul 5.30 petang.

Menurutnya, senjata api yang dirampas adalah jenis Glock 26 Austria, iaitu antara model terbaru di pasaran, manakala peluru pula bersaiz 9 milimeter.

"Kita menemui senjata api itu yang dipercayai untuk diberikan kepada pihak-pihak tertentu di dalam kereta tersebut.

"Suspek dipercayai terlibat dalam kes-kes jenayah melibatkan senjata api di negara jiran khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri yang diketuai oleh Deputi Supritendan Teoh Phaik Leng.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati suspek yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak, tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Suspek berasal dari Alor Setar, Kedah, telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, Kedah, untuk siasatan lanjut," katanya.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan tidak kurang enam sebatan.

Tambahnya, kes itu turut disiasat di bawah Seksyen 8a Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali

No comments:

Post a Comment