Tuesday, September 7, 2010

Pegawai PGA antara ditahan kes serangan pedang samurai

2010/09/07
KOTA KINABALU: Polis telah menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana dipercayai terbabit dalam insiden serangan menggunakan pedang samurai ke atas dua remaja di Lahad Datu Sabtu lalu.

Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, SAC Tan Kok Liang, berkata kedua-dua lelaki itu ditahan semalam dan dijangka lebih banyak tangkapan dibuat selepas ini. "Kami sedang mengambil tindakan dan kami juga berusaha mencari pedang tersebut," katanya kepada pemberita selepas menerima kuih raya untuk Polis Sabah daripada UMNO Bahagian Penampang, di sini hari ini. Beliau ditanya bagi mengesahkan laporan akhbar mengenai pembabitan seorang anggota PGA dalam serangan di sebuah pusat hiburan itu.

Laporan media tempatan menyebut dalam kejadian itu dua remaja mengalami kecederaan apabila diserang sekumpulan lelaki yang bersenjatakan sebilah pedang samurai dan dua kayu pemukul besbol di luar pusat hiburan terbabit.

Mengulas lanjut, Tan berkata polis masih menyiasat motif serangan.

Mengenai penahanan pegawai PGA itu, beliau berkata polis boleh dan akan menahan siapa saja termasuk anggota mereka sendiri jika dipercayai terlibat dengan jenayah.
"Kita percaya bukan dia yang menggunakan pedang itu, tetapi dia ada di tempat kejadian. Kita tidak tahu sejauh mana penglibatannya tapi yang penting kita bertindak dengan adil," katanya.

Mengenai perkembangan lain, Tan berkata lebih 50 peratus anggota dan pegawai polis beragama Islam akan bertugas di negeri itu sepanjang sambutan hari raya kali ini.

Beliau juga memberi jaminan kadar jenayah di negeri itu berada pada tahap terkawal dan rondaan di kawasan perumahan akan dipertingkatkan sepanjang musim perayaan ini. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment