Thursday, September 2, 2010

Kes jenayah Januari-Ogos: Purata 6 pelajar di Perlis terbabit setiap bulan

2010/09/02
KANGAR: Sejumlah 49 pelajar sekolah di negeri ini dilapor terbabit dalam pelbagai kes jenayah sepanjang tempoh antara Januari hingga Ogos tahun ini, atau secara purata sekurang-kurangnya enam pelajar sekolah terbabit dalam jenayah di Perlis setiap bulan.

Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Mohd Amin, berkata berdasarkan rekod Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, sejumlah 23 pelajar berusia 18 tahun dan ke bawah atau mewakili lebih 50 peratus daripada jumlah 49 pelajar berkenaan, ditahan sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini kerana terbabit dalam kes curi motosikal. Beliau berkata, walaupun jumlah pembabitan pelajar dalam kes curi motosikal di Perlis dilihat ketara, namun kebanyakan mereka dilapor bertindak secara solo atau bersendirian dan bukannya membabitkan kegiatan secara sindiket. Selain kes curi motosikal, katanya, 11 pelajar yang lain ditahan sepanjang tempoh sama kerana dikesan mempunyai kaitan dengan kes curi iaitu tujuh daripadanya membabitkan curi dalam bangunan dan empat lagi kerana jenayah curi siang hari.

"Kita turut menahan tiga remaja yang juga pelajar kerana terbabit dalam kes rogol sepanjang tempoh berkenaan, manakala selebihnya pula membabitkan lain-lain kes.

"Selain itu, 30 pelajar juga turut dilapor terbabit dalam kemalangan jalan raya sepanjang tahun ini di seluruh negeri, dengan majoritinya membabitkan motosikal," katanya kepada pemberita ketika majlis berbuka puasa bersama media di Restoran Terapung Sungai Bahru, di sini, petang semalam

No comments:

Post a Comment