2010/10/01
KANGAR: Seorang mekanik ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penyamaran termasuk sebagai anggota polis pagi tadi.
Lelaki berusia 23 tahun yang berasal dari Sanglang itu ditahan kira-kira jam 7.30 pagi, dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah. Penahanannya adalah selepas pemeriksaan dilakukan polis di kilometer 2, Jalan Kangar-Mata Ayer, dekat sini dan sepucuk pistol palsu ditemui, dua gari serta sejumlah dadah jenis syabu dalam pemilikannya. Selain tiga barangan itu, turut ditemui bersamanya beberapa barangan lain seperti dua alat penimbang kecil dan alat menghisap dadah, serta kad pengenalan milik individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dua kegiatan jenayah terbabit.
Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, berkata ketika ini, pihaknya sedang menyiasat kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah seperti samun terutama yang membabitkan penyamaran sebagai anggota polis.
Ia kerana, katanya, sepanjang tempoh sejak 2009 lalu, sejumlah lapan kes penyamaran polis dilaporkan berlaku di seluruh negeri, termasuk tiga daripadanya pada tahun ini.
"Masih terlalu awal untuk mengesahkannya. Namun, kita akan siasat jika semua lapan kes terbabit mempunyai kaitan, termasuk beberapa kes jenayah lain.
"Selain kes jenayah, kita juga percaya suspek turut memainkan peranan sebagai pengedar dadah berikutan penemuan empat paket syabu serta alat penimbang, selain alat menghisap dadah dalam milikannya," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Mengulas kes berkenaan, Zull Aznam berkata, ketika ditahan suspek dikatakan tertidur di dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback di pinggir Jalan Kangar-Mata Ayer, sebelum didatangi dua anggota MPV yang kebetulan melakukan rondaan.
Selepas diperiksa, katanya, polis menemui sepucuk pistol palsu jenis Colt Automatik dengan satu kelopak berisi bebola plastik, dua pasang gari, empat paket lutsinar berisi dadah jenis syabu, dua alat penimbang dan alat menghisap dadah, kad pengenalan milik individu lain, dua telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM792 serta mata wang Singapura.
"Semua barang kemudian dirampas dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata api palsu dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana pemilikan dadah.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan, atau pernah menjadi mangsa kepada suspek diminta menghubungi polis di talian Rakan Cop Perlis 04-9711999 untuk membantu siasatan," katanya
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment