Thursday, October 28, 2010

Penoreh maut selepas 9 hari dipaksa minum racun

2010/10/29
KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki berusia 27 tahun dari Marang yang dipercayai dipaksa minum racun oleh keluarga teman wanitanya meninggal dunia jam 7.30 pagi semalam di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, selepas sembilan hari bersabung nyawa.

Mangsa, Muda Mohd yang bekerja sebagai penoreh getah dikatakan dipaksa empat lelaki yang ada talian persaudaraan dengan teman wanitanya berusia 16 tahun meminum racun kerana tidak berpuas hati lelaki itu menjalin hubungan dengan gadis berkenaan. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata mangsa meninggal dunia selepas alami komplikasi malam kelmarin. “Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi tadi (semalam) akibat komplikasi dalaman selepas dipercayai dipaksa minum racun berkenaan. Bagaimanapun kita masih menyiasat jenis racun yang digunakan suspek," katanya.

Beliau berkata, polis sempat merakamkan keterangan mangsa selepas sedar daripada koma Ahad lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan polis turut menahan tiga lelaki berusia 17, 39 dan 45 tahun di Kampung Gondang, Marang pada 19 dan 20 Oktober lalu.

“Ketiga-tiga suspek iaitu abang, bapa saudara dan bapa tiri gadis berkenaan dilanjutkan tahanan reman sejak kelmarin, manakala polis sedang memburu dua lagi suspek yang dipercayai turut terbabit dalam kes ini untuk membantu siasatan,” katanya.

Manoharan berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian kerana keluarga gadis berkenaan tidak merestui mangsa berkawan dengan teman wanitanya.
Dalam kejadian pada 19 Oktober lalu, Muda dikatakan dipaksa minum racun oleh keluarga teman wanitanya sebelum mengadu sakit perut dan rebah di dapur rumahnya di Kampung Lubuk Batu, Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 1 petang dan dikejarkan ke HSNZ.

No comments:

Post a Comment