Wednesday, October 27, 2010

Rakyat Malaysia ditahan seludup peledak bom

KUALA LUMPUR 27 Okt. 2010 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang warganegara ini telah ditahan polis Republik Indonesia kerana cuba menyeludup masuk kira-kira 7,000 unit peledak bom.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, siasatan mendapati bahan peledak buatan India itu dibawa masuk oleh suspek dari Selatan Filipina ke Tawau, Sabah.

Katanya, suspek kemudian menyeludupnya ke Sulawesi Selatan melalui Nunukan dengan menggunakan feri penumpang.

Beliau ketika dihubungi memberitahu, pihaknya masih menunggu laporan penuh siasatan kes berkenaan bagi mengetahui jenis peledak berkenaan.

"Setakat ini, pihak polis Indonesia masih menjalankan siasatan. Oleh itu, kita masih belum dimaklumkan tujuan dan jenis peledak yang diseludup masuk itu," katanya.

Ditanya sama ada suspek yang menyeludup bahan itu terlibat dalam aktiviti militan di negara berkenaan, Hussin berkata, ia masih dalam siasatan pihak polis Indonesia.

Katanya, PDRM sentiasa bekerjasama dengan polis Indonesia bagi membendung aktiviti militan dan hal-hal keselamatan kedua-dua negara.

Sebuah agensi berita asing hari ini dipetik sebagai berkata, Mohd. Nawawi Malong ditahan di Pelabuhan Parepare, Sulawesi Selatan, Rabu lalu.

Menurut Ketua Polis Bahagian Perhubungan Awam di Ibu Pejabat Polis Kebangsaan, Inspektor Iskandar Hasan, pihaknya sedang meneruskan siasatan kes. Suspek kini disoal siasat di bawah Perkara 1 Undang-Undang Darurat.

Iskandar berkata, tindakan menyeludup peledak itu menyalahi undang-undang walaupun ia hanya digunakan sebagai bom ikan.

"Kami sedang menyiasat sama ada ia ada kaitan dengan keganasan kerana pada 2000, saya pernah menemui peledak yang sama digunakan dalam aktiviti keganasan di Medan," katanya.

No comments:

Post a Comment