Monday, October 25, 2010

2 wanita Afrika ditahan miliki syabu RM2 juta

2010/10/26


NORDIN menunjukkan syabu yang dirampas di KLIA di IPK Selangor, semalam.SHAH ALAM: Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 7.2 kilogram (kg) syabu bernilai hampir RM2 juta selepas menahan dua wanita Afrika pada 19 dan 22 Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata rampasan pertama membabitkan 3 kg syabu yang cuba diseludup seorang wanita warga Togo berusia 28 tahun. Katanya, suspek bekerja sebagai pencuci rambut di salun di negaranya ditahan ketika mahu menaiki teksi selepas melepasi semua pemeriksaan keselamatan.
“Selepas melakukan pemeriksaan rapi kami menemui sembilan botol berisi cecair dipercayai dadah dan dua bungkus beg plastik berisi syabu bernilai RM750,000 dalam beg pakaiannya.

“Suspek mendakwa cecair 7.2 liter dalam sembilan botol itu bahan membuat pewangi. Kami sebaliknya percaya ia dadah dalam bentuk cecair dan masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Nordin berkata, seorang lagi suspek warga Nigeria berusia 37 tahun pula ditahan kerana cuba menyeludup 4.2 kg syabu bernilai RM1 juta yang disorok di tempat rahsia di bawah lapik beg pakaiannya ketika menunggu teksi.

Katanya, suspek bekerja sebagai tukang cuci dan baru pertama kali datang ke negara ini mendakwa tujuannya ke sini untuk mencari pekerjaan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek baru pertama kali masuk ke negara ini dengan menaiki penerbangan dari Doha dan masing-masing ditemani beberapa rakan.

Suspek warga Togo itu ditahan reman hingga hari ini manakala suspek warga Nigeria pula direman hingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

No comments:

Post a Comment