Monday, October 11, 2010

Calon PMR ditahan curi motosikal

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my

YAN 11 Okt. - Ketika pelajar seusianya sibuk mengulang kaji untuk menghadapi Penilaian Menengah Rendah (PMR), seorang calon peperiksaan itu di sini dan lapan rakannya yang juga pelajar, 'sibuk' mencuri motosikal.

Kegiatan mereka bagaimanapun tidak bertahan lama apabila semua mereka yang berusia 14 hingga 17 tahun itu diberkas dalam Ops Rejang Bersepadu bermula Khamis lalu hingga kelmarin.

Turut ditahan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Yan itu ialah dua lagi rakan mereka berusia 19 dan 23 tahun.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ismail Abu berkata, ia rentetan penahanan seorang pelajar di Pekan Yan, Khamis lalu, ketika sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, motosikal ditunggang suspek merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang sejak lebih tiga bulan lalu.

Beliau berkata, polis kemudian melancarkan beberapa operasi sehingga kelmarin dan menahan para pelajar terbabit di rumah masing-masing.

"Turut ditemui sembilan motosikal curi dengan lima daripadanya telah dileraikan dan dibuang ke dalam Sungai Merbok, dekat Kampung Segantang Garam.

"Susulan itu, kita menahan dua lagi rakan mereka yang tidak bersekolah di Yan," katanya di sini hari ini.

Tambah Ismail, pemeriksaan pihaknya mendapati kumpulan remaja itu telah bergiat aktif mencuri dan menjual komponen motosikal sejak lebih tiga bulan lalu.

"Kebanyakan motosikal yang dicuri akan dileraikan dan diambil sebahagian komponen untuk dijual di kalangan kenalan mereka," jelasnya.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

"Calon PMR itu pula dibebaskan dengan jaminan agar boleh menduduki peperiksaan tetapi dikehendaki melaporkan diri bagi membantu siasatan selepas peperiksaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, polis turut menahan seorang lelaki berusia 20-an dalam satu sekatan jalan raya di sini, kelmarin.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan kemudian mendapati suspek menaiki motosikal dilaporkan dicuri di Kulim, sejak dua bulan lalu.

"Selain itu, polis turut menemui bungkusan dadah dipercayai ganja seberat 28 gram dalam raga motosikalnya," katanya.

Berikutan itu, katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana memiliki motosikal curi dan Seksyen 39B dan 39A Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ismail turut menasihatkan ibu bapa agar mengawasi pergerakan anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak terjebak dengan gejala negatif termasuk kegiatan mencuri komponen motosikal .

Katanya, penjaga juga perlu memastikan anak-anak mereka tidak membawa komponen motosikal curi ke rumah kerana perbuatan menyimpan barangan itu juga menyalahi undang-undang.

"Sejak kebelakangan ini, jenayah curi motosikal dan komponennya semakin berleluasa dilakukan oleh remaja sehingga polis terpaksa pergi ke rumah keluarga suspek untuk mendapatkan bukti," ujarnya.

No comments:

Post a Comment