Tuesday, October 19, 2010

Polis tahan 3 lelaki terbabit samun bersenjata api

2010/10/19
JOHOR BAHRU: Polis percaya berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata api selepas menahan tiga lelaki di Batu Pahat, dua hari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dua daripada mereka, berumur 20 dan 23 tahun ditahan menerusi sekatan jalan raya di Jalan Yong Peng-Labis, kira-kira jam 3 pagi manakala seorang lagi rakan mereka yang berumur 24 tahun ditahan sejurus selepas itu. "Kedua-dua lelaki itu menaiki sebuah Proton Perdana dan pemeriksaan di dalam beg sandang salah seorang dari mereka menemui tiga peket serbuk putih serta sejumlah pil yang dipercayai dadah," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Mohd Mokhtar berkata, siasatan lanjut terhadap mereka menemui sepucuk revolver bersama tiga peluru hidup, sepucuk pistol MOD 500 7.65mm mengandungi satu kelopak dengan dua butir peluru, sebuah kotak mengandungi 10 butir peluru hidup pelbagai jenis, tiga kunci allen serta dua pemutar skru.

"Semua lelaki berkenaan kini direman sehingga Sabtu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menahan empat pemandu bas ekspres kerana memandu di bawah pengaruh dadah jenis ganja menerusi "Operasi Ubah Sikap" di Plaza Tol Skudai, di sini dan Hentian Bas Yong Peng, dekat Batu Pahat, Isnin dan semalam.

Beliau berkata, semua pemandu berumur 35 hingga 57 tahun itu adalah antara 182 pemandu bas ekspres yang diperiksa menerusi operasi dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan.
"Tiga daripada empat pemandu bas itu kini direman sehingga 31 Oktober ini. Seorang daripada mereka turut mempunyai dua rekod jenayah," katanya. -

No comments:

Post a Comment