Tuesday, October 5, 2010

Mahkamah perintah warga Indonesia diusir kerana menyamun

2010/10/05
KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan tiga buruh ladang warga Indonesia diusir dari negara ini sebaik selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan menyamun sebuah keluarga di Felda Bukit Kuantan di sini membabitkan nilai kira-kira RM150,000 pada Mei lalu.

Tertuduh, Idris, 44, dan Denni Irawan, 37, masing-masing dari Berakit dan Ceribon, Indonesia dijatuhi hukuman penjara enam tahun serta dua sebatan selepas mengaku bersalah atas tuduhan tersebut manakala seorang lagi rakan mereka, Zakaria Mohammad, 31, dari Makasar dikenakan hukuman lima tahun penjara dan dua sebatan. Hakim Irwan Suainbon memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 10 Mei lalu. "Selepas meneliti kes dan mengambil kira keselamatan orang awam, mahkamah memerintahkan supaya ketiga-tiga tertuduh diusir dari negara ini selepas selesai menjalani hukuman," katanya.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan di sebuah rumah bersebelahan stesen minyak BHP yang didiami empat beranak di Felda Bukit Kuantan, kira-kira 3.30 pagi pada 10 Mei lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati merampas barang milik keluarga berkenaan termasuk tiga gelang tangan emas, tiga rantai tangan emas, dua subang, empat rantai leher emas, lima telefon bimbit, pelbagai kad tambah nilai serta wang tunai lebih kurang RM87,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman sewajarnya ke atas tertuduh yang melakukan perbuatan menggugat keselamatan orang ramai.
"Tertuduh yang baru datang ke negara ini sejak Mei lalu menyalahguna kebenaran bekerja dengan melakukan jenayah sehingga mengancam keselamatan orang awam," katanya.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Rosal Azimin Ahmad.

No comments:

Post a Comment