Monday, October 4, 2010

Warga Indonesia di rumah kongsi miliki Mercedes-Benz

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Walaupun memasuki negara ini secara haram dan tinggal di rumah kongsi, seorang lelaki warga Indonesia mampu hidup mewah termasuk memandu kereta mewah jenis Mercedes-Benz.

Kenderaan model E200 yang bernilai lebih RM100,000 itu digunakan oleh suspek hasil kegiatan jenayah curi motosikal yang dilakukan bersama rakan senegaranya sejak beberapa tahun lalu.

Namun, rahsia kemewahan lelaki terbabit terbongkar apabila dia ditangkap polis dalam serbuan di Ladang Taman Tasik Puteri, Batu Arang dekat sini semalam.

Hasil tangkapan tersebut, polis mendapati suspek berusia lingkungan 30-an itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis berjaya memberkas suspek dalam 'Ops Lejang' yang diadakan di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit pada petang semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis telah merampas sebuah kereta Mercedes-Benz E200 dan enam motosikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.

"Siasatan mendapati kereta Mercedes-Benz yang ditemui itu menggunakan nombor pendaftaran palsu, manakala nombor casis pula sudah ditukar," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, polis yang melakukan pemeriksaan lanjut di kawasan rumah kongsi terbabit kemudian menemui enam buah motosikal yang dilaporkan hilang di sekitar Klang, Petaling Jaya dan Brickfields.

Katanya, empat daripada motosikal tersebut dilaporkan hilang di Petaling Jaya, manakala masing-masing sebuah dicuri di Klang dan Brickfields.

Selain kenderaan terbabit, Abdul Rahim berkata, polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek semasa menjalankan kegiatan jenayah.

"Suspek merupakan pekerja di ladang kelapa sawit terbabit namun pada masa yang sama dia turut terlibat dalam kegiatan curi motosikal.

"Kita kini sedang memburu saki baki rakan senegaranya yang terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut. Polis percaya motosikal itu dicuri sebelum dijual satu demi satu kepada pembeli yang dikenalpasti," jelas beliau.

Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri, kata Abdul Rahim

No comments:

Post a Comment