KUANTAN 17 Okt. 2010 - Lima penjenayah warga asing yang amat dikehendaki kerana terbabit dalam sekurang-kurangnya sembilan siri rompakan di lima daerah di negeri ini mati ditembak polis di Indera Mahkota, berdekatan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini awal hari ini.
Sebelum kejadian pukul 4.15 pagi itu, sepasukan anggota polis yang menaiki kereta peronda terpaksa mengejar kereta Proton Waja dinaiki penjenayah sejauh 15 kilometer sebelum terbabas di kawasan terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, T. Narenasagaran berkata, polis mengarahkan semua suspek menyerah diri tetapi mereka bertindak menyerang anggota berkenaan menggunakan parang.
"Semua suspek cuba menyerang polis menggunakan parang menyebabkan anggota polis tidak mempunyai pilihan lalu melepaskan tembakan.
"Pihak polis mengikut segala prosedur dan mengambil keputusan menembak mereka bagi tujuan mempertahankan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Narenasagaran, sebelum itu, suspek dipercayai telah menyamun sebuah rumah di Balok Baru di sini, pukul 3.30 pagi.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis yang membuat rondaan telah terserempak dengan kereta dinaiki oleh penjenayah itu di Jalan Kuantan By Pass dan berada dalam keadaan mencurigakan.
"Polis cuba menahan kereta terbabit tetapi mereka enggan mematuhi arahan sebaliknya terus memecut laju dan apabila sampai di jalan masuk ke bangunan KWSP, kereta itu terbabas," jelasnya.
Katanya lagi, identiti kesemua suspek masih lagi dalam siasatan.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki suspek menemui tiga bilah parang, sebilah sabit, tiga telefon bimbit, masing-masing satu kuku kambing, pisau, pemutar skru, beg tangan, loket emas dan dua rantai tangan emas.
Katanya, kereta yang mereka naiki dilaporkan hilang di Cheras, Kuala Lumpur.
Tambah Narenasagaran, beliau percaya kesemua suspek tersebut terlibat dalam sembilan siri rompakan di lima daerah iaitu Maran, Jerantut, Temerloh, Bera dan Kuantan.
"Kumpulan itu amat berbahaya dan agresif serta sanggup mencederakan mangsa yang melawan mereka," katanya.
Sunday, October 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment