2010/10/28
KEADAAN Ain yang melecur 70 peratus di bahagian muka, tangan dan badan, di bilik rawatan Hospital Pulau Pinang. GEORGETOWN: Akibat cinta tidak berbalas, seorang lelaki menyimbah cuka getah ke muka bekas rakan sekerjanya bagi membalas dendam di depan rumah nenek wanita itu di Taman Cenderwasih, Seberang Prai Selatan, baru-baru ini.
Berikutan kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Ain, 21, melecur 70 peratus di bahagian muka, tangan dan badan, masih dirawat di Hospital Pulau Pinang. Mangsa merancang mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihannya selepas sambutan Aidiladha bulan depan, buntu memikirkan masa depannya berikutan kecederaan dialaminya. Ain berkata, beliau tidak menyangka lelaki itu sanggup menyimbah asid kerana mahu membalas dendam akibat cinta tidak berbalas.
“Saya kecewa dengan perbuatannya dan berharap dia dikenakan tindakan sewajarnya, setimpal dengan kesalahan yang dilakukan," katanya.
Mengimbau kejadian itu, Ain berkata, kejadian berlaku jam 11 malam pada 17 Oktober lalu di depan rumah neneknya ketika beliau bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke rumah.
Katanya, ketika tiba di depan pagar rumah, beliau dihampiri motosikal suspek sebelum disimbah cuka getah ke muka sambil suspek mengejek ‘padan muka hang’ dan berlalu pergi.
"Saya tersentak dengan muka dan badan menjadi sejuk seketika sebelum bertukar panas dan seluruh kulit bertukar menjadi hitam dan terbakar dan membengkak. Suasana ketika itu sukar digambarkan kerana kesakitan yang amat sangat. Saya berlari ke rumah untuk meminta bantuan," katanya.
Katanya, beliau dihantar ke Hospital Sungai Bakap sebelum dipindahkan ke HPP untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata suspek yang bekerja sebagai kelindan lori ditahan pada 20 Oktober lalu di rumahnya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana cintanya tidak berbalas.
Wednesday, October 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment