2010/10/18
KUALA LUMPUR: Bagi memastikan kegiatan samseng jalan raya tidak berleluasa, anggota Unit Kuat Kuasa Khas (U3K) polis akan ditambah dalam masa terdekat, kata Pegawai Turus dan Operasi Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Ng Fook Long.
Beliau berkata, jumlah sedia ada seramai 13 anggota dan pegawai itu tidak mencukupi bagi membanteras kegiatan itu yang kini kian berleluasa. “Oleh kerana kegiatan samseng jalan raya kini semakin berleluasa, kita perlu menambah anggota U3K bagi membanteras gejala terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam operasi cegah samseng jala raya dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, kelmarin.
Operasi yang bermula jam 11 malam itu turut menahan seorang lelaki berusia 21 tahun yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya dengan melawan arus berhampiran Dataran Merdeka.
Sebelum ditahan, lelaki terbabit cuba memecut laju dengan melawan arus sebelum jatuh tersembam di tepi jalan raya.
Ketika ditahan, lelaki terbabit mendakwa motosikal yang dinaiki adalah milik rakannya, namun hasil pemeriksaan polis mendapati motosikal itu adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Ampang, tahun ini.
Selain lelaki terbabit, turut ditahan dalam operasi itu, dua pelajar lelaki berusia 12 dan 14 tahun kerana memandu tanpa lesen.
Operasi yang tamat jam 3 pagi itu turut menyita 36 motosikal dan 309 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya.
Ng berkata, sebanyak 563 motosikal dan 301 kereta diperiksa dalam operasi itu, manakala JPJ turut mengeluarkan 78 notis dan menyaman 18 kenderaan atas pelbagai kesalahan.
“JAS turut mengeluarkan saman ke atas lima kenderaan kerana kesalahan mengeluarkan asap kenderaan berlebihan,” katanya.
Beliau berkata, seramai 108 anggota dan pegawai dari empat agensi itu terbabit dalam operasi di empat lokasi di Jalan Tun Perak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut dan Dataran Merdeka.
Sunday, October 17, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment