Thursday, October 7, 2010

Ahli kongsi gelap ‘Pneh’ mati ditembak

Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN
muin.sapidin@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 7 Okt. – Selepas bermaharajalela terlibat dalam sekurang-kurangnya 13 kes jenayah ugut dan kekerasan, seorang ahli kongsi gelap dipercayai penjenayah yang paling dikehendaki polis, mati dalam kejadian berbalas tembakan di Taman Rozhan, dekat Alma, di sini malam tadi.

Chew Kun Hi, 37, dari Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah, yang juga ahli kumpulan kongsi gelap ‘Pneh’, mati di tempat kejadian selepas berbalas tembak dengan polis pada pukul 11.45 malam.

Selain mempunyai 13 rekod jenayah lampau, suspek yang pernah ditahan sebanyak tiga kali di Simpang Renggam, Johor kerana terlibat dalam jenayah kekerasan, turut dikehendaki dalam beberapa kes ugut wang perlindungan di negeri ini.

Ketua Siasatan Jenayah negeri, Datuk Wan Abdullah Tuanku Said berkata, sejurus tiba di sebuah lorong berhampiran taman itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan Khas (D9) negeri memintas kenderaan jenis BMW yang dinaiki suspek.

“Selepas memperkenalkan diri, polis memberi amaran supaya berhenti tetapi suspek enggan berbuat demikian sebaliknya memecut kenderaannya sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis.

“Sebagai langkah keselamatan, polis membalas tembakan sehingga kereta suspek terhenti di tepi pagar simen sebuah rumah di lorong tersebut,” katanya di sini hari ini.

Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sepucuk revolver .38 bersama tiga butir peluru hidup dan dua kelongsong peluru.

Menurutnya, suspek yang bekerja sambilan sebagai penarik kereta dipercayai ada kaitan dengan penemuan enam pucuk pistol dalam serbuan sebuah makmal memproses dadah oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Batu Feringgi, baru-baru ini.

Dalam serbuan itu, JKDM turut merampas dadah jenis heroin, ketamin dan syabu yang dianggarkan bernilai RM3 juta.

Wan Abdullah berkata, polis turut menerima beberapa maklumat sejak sebulan lalu mengenai kegiatan suspek yang meminta wang perlindungan daripada mangsa-mangsa dengan menggunakan pistol.

Suspek juga katanya, dilihat tidak takut sekiranya identitinya dikenali apabila sentiasa memandu kereta BMW putih tersebut malah menggunakan nombor pendaftaran yang sama ketika meminta wang perlindungan.

Dalam kejadian terbaru Isnin lalu katanya, seorang pengadu mendakwa suspek datang ke rumahnya kira-kira pukul 9.30 pagi dan meminta wang RM10,000 sambil mengugut akan membunuh ahli keluarganya jika tidak berbuat demikian.

“Selepas mengetahui pengadu ketika itu tiada di rumah, suspek dengan menggunakan pistol meminta supaya anak pengadu memberitahu bapanya supaya membayar hutang jika tidak mahu seluruh ahli keluarganya dibunuh.

“Sebelum ini suspek ada menelefon pengadu meminta wang tetapi tidak diberi kerana pengadu mendakwa dia tidak berhutang. Pengadu juga mengenali identiti suspek yang memandu kenderaan yang sama,” katanya

No comments:

Post a Comment