Thursday, October 21, 2010

Kegiatan judi haram tumpas

Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar
ctfa@bharian.com.my
2010/10/22
Sindiket dipercayai kutip pertaruhan bernilai hampir RM10 juta setahun

ALOR SETAR: Polis Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Bukit Aman, menumpaskan kegiatan perjudian loteri tanpa lesen susulan penahanan tiga wanita tempatan di Jalan Bakar Bata, Lorong Kampung Pisang dalam 'Ops Dadu', di sini, kelmarin. Penguasa Pencegahan Cawangan D7 A Bukit Aman, Superintendan Maszely Min-had, berkata serbuan jam 6.45 petang itu disifatkan kejayaan terbesar polis membabitkan judi loteri tanpa lesen di zon utara tahun ini kerana sindiket terbabit dipercayai mengutip pertaruhan hampir RM10 juta setahun.
Katanya, tiga wanita tempatan berusia 30 hingga 48 tahun itu ditahan ketika sedang sibuk menguruskan operasi pusat judi loteri berkenaan, yang mana seorang daripada suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan dalang utama dan penganjur kegiatan berkenaan.

Beliau berkata, polis turut merampas lima mesin faksimile, tiga komputer riba, empat pencetak, dua modem, satu WiFi, 147 keping kertas faksimile mengandungi angka, empat meja lipat serta alat tulis digunakan untuk operasi judi haram berkenaan.

“Bertindak daripada hasil risikan selama dua minggu, polis percaya pusat judi loteri haram itu beroperasi lebih setahun lalu. Kita percaya penganjur memperoleh keuntungan RM50,000 bagi setiap pertaruhan dan nilai kutipan pertaruhan mencecah RM9.6 juta setahun.

“Polis juga percaya penganjur cuba berselindung di sebalik rumah banglo kayu dua tingkat yang kelihatan seperti tidak berpenghuni digunakan untuk menjalankan operasi haram ber-kenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Maszely berkata, kegiatan perjudian loteri awam haram itu dipercayai mempunyai ejen di beberapa negeri lain termasuk Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

Katanya, semua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 44 (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis akan meningkatkan operasi membanteras kegiatan perjudian loteri awam haram ini secara besar-besaran. Kita percaya kegiatan ini didalangi penduduk tempatan dengan menyasarkan orang ramai sebagai pelanggan kerana penganjur mengenakan kadar taruhan lebih rendah berbanding pusat loteri berdaftar,” katanya.

No comments:

Post a Comment