Sunday, October 17, 2010

Bakal pengantin dicekup kes samun

2010/10/18


ABDUL GHAFAR (kiri) menunjukkan pistol mainan dan parang digunakan untuk menyamun 19 stesen minyak di daerah Kota Setar, Jitra, Pokok Sena dan Kangar di Alor Setar, semalam.ALOR SETAR: Seorang bakal pengantin dicekup kerana terbabit dalam kes samun bersenjata ke atas beberapa stesen minyak di sekitar Kota Setar, Jitra dan Kangar.

Suspek berumur 22 tahun itu dicekup di Gunung Keriang pada 8 Oktober lalu, iaitu dua hari sebelum dia berkahwin. Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Superintendan Abd Ghafar Rajab, berkata bakal pengantin itu turut dikehendaki berhubung satu kes rogol di Kuala Nerang dua tahun lalu.
Sehari sebelum suspek ditahan, seorang rakan suspek yang berumur 25 tahun turut ditahan di Pokok Sena.

Beliau berkata kedua-dua suspek aktif menyamun sejak April lalu dan sehingga ditangkap mereka didapati terbabit dengan 23 kes samun termasuk satu menyebabkan kecederaan parah apabila seorang juruwang stesen minyak ditikam daripada belakang kerana enggan memberi kerjasama.

Abd Ghafar berkata, berdasarkan siasatan awal suspek didapati pernah terbabit dengan 19 kes samun yang dilaporkan di daerah Kota Setar manakala tiga kes dilaporkan di daerah Jitra dan satu kes lagi dilaporkan di Kangar, Perlis.

Beliau berkata, berikutan tangkapan itu polis turut merampas dua pistol tiruan, sebilah pisau pemotong daging, tiga motosikal dan dua topi keledar dipercayai digunakan ketika menyamun.
“Maklumat awal juga mendapati suspek berusia 22 tahun seorang pekerja kontrak yang juga dikehendaki polis berikutan kes rogol pada 2008, manakala rakannya yang berusia 25 tahun pula tidak bekerja dan sudah berkahwin serta mempunyai seorang anak,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment