KUALA TERENGGANU 27 Okt. 2010 - Seorang pegawai DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa syarikat tersebut tidak mengetahui isi kandungan sesuatu khidmat pesanan ringkas (SMS) pelanggannya.
Ketua Bahagian Siasatan dan Pemeriksaan DiGi, Mohd. Faiz Ong Abdullah memberitahu, ini kerana setiap isi kandungan SMS tersebut hanya disimpan selama tujuh hari sebelum dihapuskan.
Beliau menyatakan demikian semasa disoal oleh peguam Datuk Hazman Ahmad yang mewakili Datuk Dr. Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berhubung rekod kegunaan telefon anak guamnya itu antara 13 dan 21 April tahun lalu.
Ahmad Ramzi dibicarakan atas tiga tuduhan menghantar ugutan jenayah menerusi SMS kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) pada tahun lalu.
Sementara itu, pemilik akaun aplikasi SMS yang digunakan untuk menghantar pesanan berbaur ugutan itu, Nor Irwan Zainal Abidin, 32, memberitahu, dia tidak menghantar dua SMS kempen Majlis Tertinggi UMNO yang terdapat dalam telefon Ahmad Ramzi.
Dia turut menafikan telah menggunakan akaun aplikasi SMS miliknya untuk menghantar dua pesanan daripada 'Pejuang UMNO' bertajuk 'Wahai para perwakilan yang budiman' dan 'ada yang bakar jambatan dan tak suka K'.
Nor Irwan bagaimanapun bersetuju kedua-dua SMS berkenaan dihantar menggunakan aplikasi yang sama.
Semalam, beliau memberitahu mahkamah akaun yang digunakan untuk menghantar SMS berbaur ugutan itu didaftarkan di bawah namanya selepas diminta berbuat demikian oleh Ahmad Ramzi.
Ahmad Ramzi didakwa menghantar ugutan jenayah menerusi SMS dengan mengancam mendatangkan kematian ke atas ADUN Paka, Mohd. Ariffin Abdullah pada pukul 11.21 malam, 13 April tahun lalu di E726 Kampung Kubang Parit, dekat sini.
Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan yang sama ke atas dua lagi ADUN, Abd. Halim Jusoh (Permaisuri) dan Datuk Rosol Wahid (Ajil) antara pukul 11.21 dan 11.25 malam di tempat dan tarikh yang sama.
Dia juga didakwa atas tuduhan pilihan, menggunakan perkhidmatan Internet bagi menghantar SMS berbunyi: "Baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?" kepada tiga ADUN tersebut.
Selain itu, Ahmad Ramzi dituduh memfitnah Wan Ahamad Wan Muda, bekas Setiausaha Sulit Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said yang kini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan menghantar SMS ugutan itu menggunakan nombor telefon bimbit 019-9158369 milik Wan Ahamad.
Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusoff dan Nur Azimul Azami.
Perbicaraan di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid bersambung 9 November ini.
Wednesday, October 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment