Monday, October 11, 2010

Kanak-kanak 11 tahun ditahan jual air ketum

KEMAMAN 11 Okt. 2010 - Jika dahulu ibu, bapa dan kakaknya ditahan kerana menjual air ketum, kali ini seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun pula mengikut jejak mereka menjual air berkenaan di sebuah warung di Kampung Lubuk Lesung, kelmarin.

Ketua Polis daerah, Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, kanak-kanak itu bagaimanapun ditahan di warung berkenaan yang terletak di Jalan Jerangau Jabor, diserbu hasil maklumat orang awam.

Katanya, polis turut merampas lapan peket bahan itu daripada kanak-kanak tersebut.

Katanya lagi, siasatan polis mendapati air ketum berkenaan diusahakan bapanya yang sebelum ini pernah ditangkap kerana kesalahan serupa.

"Kita dapati kanak-kanak itu tidak mahu lagi ke sekolah kerana seronok menjual air ketum yang mendatangkan hasil lumayan.

"Setiap peket air ketum dijual dengan harga RM2. Malah warung itu dibuka khusus untuk menjual air berkenaan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau menambah, warung yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah keluarga kanak-kanak itu beroperasi 24 jam dan sentiasa dikunjungi oleh pelanggan.

Abdullah berkata, pada awal tahun ini kakak dan ibunya juga ditahan kerana menjual air ketum.

"Kita amat kecewa dengan keluarga berkenaan yang menjadikan air ketum sebagai punca pendapatan keluarga mereka," ujarnya.

Beliau menambah, kanak-kanak itu akan disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Racun 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga empat tahun dan didenda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya

No comments:

Post a Comment