Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my
2010/10/25
OTHMAN (kiri), sambil diperhatikan Osman dan Ravichandran menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di Oakland, Seremban, semalam.Makmal proses Eramin 5 milik rakyat tempatan didalangi sindiket antarabangsa
SEREMBAN: Kira-kira 318 kilogram pil Eramin 5 bernilai RM20 juta dirampas dalam serbuan di sebuah rumah kedai yang dijadikan makmal haram di Pusat Komersial Oakland di sini, pagi kelmarin, iaitu rampasan terbesar dadah jenis itu tahun ini. Dalam serbuan jam 10.45 pagi itu, polis menahan dua lelaki termasuk seorang yang mempunyai kelulusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal.
Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata polis turut menahan seorang wanita warga Vietnam di sebuah premis lain kawasan itu dan seorang lelaki dipercayai ketua sindiket terbabit di Lukut, Port Dickson.
Katanya, mereka yang ditahan berumur antara 23 dan 45 tahun dengan semua lelaki terbabit adalah warga tempatan, manakala warga Vietnam dipercayai teman wanita seorang anggota sindiket.
“Polis menyita harta bernilai RM512,000 iaitu dua kereta, sebuah rumah dan wang tunai dalam bank,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dan Ketua JSJN Negeri Sembilan, Superintendan P Ravichandran.
Othman berkata, rampasan Eramin 5 hasil operasi bersama JSJN Bukit Aman dan Negeri Sembilan adalah yang terbesar tahun ini, berbanding dua rampasan bernilai RM28 juta di Batu Pahat dan Ipoh sebelum ini.
Katanya, kejayaan itu memperlihatkan perubahan trend dengan rakyat tempatan mengambil alih kerja memproses Eramin 5 menggunakan peralatan canggih.
“Dalam serbuan di Johor pada 2008, pengendali makmal dadah itu warga Taiwan dan di Pulau Pinang tahun lalu, kerja itu dijalankan warga Indonesia,” katanya.
Katanya, pembabitan warga tempatan mungkin kerana serbuan dan penangkapan warga asing sebelum ini menyebabkan sindiket terbabit mengalami kerugian besar.
Othman berkata, makmal haram dadah di sini dipercayai beroperasi sejak dua bulan lalu dan mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa dengan dadah dihasilkan adalah untuk pasaran tempatan dan negara lain.
“Polis menyiasat pembelian sesetengah bahan mentah menghasilkan Eramin 5 yang diimport dan berstatus barangan kawalan,” katanya.
Semua yang ditahan, katanya disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.
Sunday, October 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment