Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.
OMAR Shaari diiringi polis keluar dari mahkamah selepas hakim menjatuhkan hukuman gantung sampai mati di Georgetown, di sini semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
PULAU PINANG 27 Okt. - Seorang peniaga kedai makanan dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh jiran yang mayat wanita itu ditemui hampir reput di kawasan belukar, empat tahun lalu.
Ketika Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman tersebut, raut wajah Omar Shaari, 49, yang bertubuh sederhana dan tinggi lampai itu, langsung tidak menunjukkan kesedihan.
Tertuduh itu pada mulanya mendengar penghakiman tersebut dengan teliti sebelum dilihat berpusing memandang abang, isteri dan anaknya yang berada di galeri awam sambil mengangkat bahunya beberapa kali dan tersenyum lebar ketika hukuman dijatuhkan.
"Nasiblah,'' katanya beberapa kali sejurus prosiding selesai.
Isteri tertuduh pengsan ketika cuba berjalan ke arah suaminya itu. Omar kemudiannya dilihat mengusap-usap isterinya itu dan duduk berhampirannya sehingga pulih lima minit kemudian dengan bantuan beberapa anggota polis dan kakitangan mahkamah.
Omar yang berniaga nasi tomato di Taman Tun Sardon telah mengenali Faridah Mohd. Sharif, 46, selama 40 tahun didakwa membunuh mangsa antara pukul 11 pagi dan 2 petang, 12 September 2006, di rumah No. 307-1, Jalan Datuk Keramat di sini.
Dia yang berasal dari Perak dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu, dalam penghakiman bertulisnya yang dibacakan hampir sejam bermula 9.30 pagi, Hakim Abdul Halim berkata, Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.
Menurut beliau, pembelaan tertuduh, bersifat penafian semata-mata tanpa sebarang bukti atau faktor yang boleh diambil kira bagi memberi manfaat kepadanya, selain mereka-reka cerita.
Hakim itu berkata, tertuduh juga cuba mengalihkan beban yang ditanggungnya dengan mengatakan kononnya Faridah telah dibunuh oleh pembantunya, Farouk Khan, 25, seorang rakyat Myanmar dan ia tidak boleh diterima akal.
"Untuk mengangkat mayat mangsa sejauh itu, dia sudah tentu memerlukan kereta dan di sini peranan sebenar tertuduh muncul. Tertuduh merupakan dalang dan Farouk Khan hanya bertindak sebagai pembantu.
"Ini jelas daripada keterangan saksi pendakwaan sebelum ini yang telah melihat sebuah kereta Proton Iswara diletakkan di hadapan rumah tertuduh ketika hari kejadian,'' kata beliau.
Menurut hakim, keterangan kedua-dua isteri tertuduh yang dibawa sebagai saksi pembelaan juga tidak langsung mencacatkan atau menggugat keterangan saksi-saksi utama pendakwaan.
Jelasnya, mereka berdua hanya memberikan penjelasan bagi membuktikan suami mereka itu tidak mempunyai masalah kewangan dan mempunyai simpanan hasil keuntungan berniaga setiap hari.
"Tetapi ingin saya ingatkan bahawa jenayah tidak mengira sama ada orang itu susah atau senang. Motifnya hanya tertuduh sahaja yang tahu dan mahkamah menyimpulkan ia hanya untuk mendapatkan barang kemas. Jelas perbuatan kamu membunuh mangsa yang telah dikenali sejak kecil amat tidak berperikemanusiaan.
"Saya harap kamu insaf dan bertaubat atas apa dilakukan. Justeru, hanya terdapat satu hukuman yang diperuntukkan untuk kamu bagi kesalahan ini. Kamu saya perintahkan dihukum gantung sampai mati,'' kata Abdul Halim.
Salah seorang adik mangsa, Zaharah Mohd. Shariff, 48, yang duduk di galeri awam dilihat gagal menahan tangisannya dan berlari keluar. Dia sebelum itu dilihat menangis teresak-esak sambil menutup muka menggunakan tudung yang dipakainya.
Ketika berada di luar mahkamah, Zaharah dilihat memeluk adiknya, Sarinah, 39, dan anak mangsa, Zanariah Razali, 29.
"Syukur kepada Tuhan. Setelah empat tahun, akhirnya kematian Faridah mendapat pembelaan,'' katanya.
Wednesday, October 27, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment