Wednesday, October 6, 2010

Sindiket ugut, ganggu pegawai imigresen baru

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my
2010/10/07
Kakitangan di Jeti Pulau Ketam terima ancaman, kereta dirosak

PUTRAJAYA: Sindiket yang turut membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang, untuk membawa masuk dan keluar pendatang tanpa izin dikesan menggunakan taktik menakut-nakutkan kumpulan pegawai yang baru ditukarkan ke situ. Menyifatkan kumpulan 20 kakitangan imigresen yang baru ditukarkan ke jeti berkenaan sebagai penghalang kegiatan itu, sindiket terbabit dipercayai menggunakan kaedah ugutan menerusi telefon, selain memecahkan cermin kereta kakitangan imigresen baru berkenaan. Perkara itu didedahkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman, semalam yang berkata beliau menerima aduan daripada kakitangannya di jeti berkenaan bahawa mereka menerima ugutan dan ada kejadian cermin kereta dipecahkan beberapa hari selepas melaporkan diri di tempat baru itu.

Kumpulan kakitangan baru imigresen itu mula bertugas di Jeti Penumpang Pulau Ketam pada 27 September lalu.

Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan itu dilakukan oleh sindiket berkenaan atau orang tengah yang berasa terdesak selepas gerakan pihak berkuasa membanteras kegiatan itu dan menganggap kakitangan baru yang ditukarkan pula menjadi penghalang.

"Ugutan dan gangguan itu mula dilaporkan beberapa hari selepas kakitangan baru bertugas. Mereka (sindiket) hanya memerlukan tiga hari untuk mengenal pasti kakitangan mana yang perlu diganggu atau diugut," katanya di sini, semalam.
Beliau berkata, imigresen menganggap kumpulan berkenaan mahu memberikan mesej bahawa mereka tidak akan beralah dan menghentikan kegiatan itu dengan mudah.

Bagaimanapun, katanya, imigresen belum membuat aduan polis kerana masih menyifatkan ia sebagai gangguan biasa yang belum menggugat keselamatan anggotanya.

Menjawab soalan kemungkinan ada orang dalam turut terbabit memaklumkan kepada anggota sindiket mengenai identiti serta kenderaan milik kakitangan yang perlu diganggu, Abdul Rahman berkata:

"Apabila ia membabitkan wang yang lumayan seperti dilaporkan media, meja dan kerusi di sekeliling kita pun boleh bercakap," katanya.

Berita Harian dalam beberapa siri laporan sebelum ini mendedahkan mengenai kegiatan rasuah di kalangan kakitangan imigresen di jeti berkenaan yang mendapat habuan sehingga RM20,000 seminggu selepas bersekongkol dengan orang tengah supaya melepaskan warga asing keluar dan masuk negara ini tanpa dokumen sah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga ini menahan tujuh kakitangan imigresen, lima di jeti berkenaan manakala dua di Port Dickson berhubung skandal itu, manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) menimbang untuk mengambil tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka terbabit.

Abdul Rahman berkata, jabatan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pegawainya yang didapati terbabit dengan skandal itu.

Mengenai cadangan KDN mengenakan tindakan ISA terhadap pegawainya yang didapati terbabit dengan skandal itu, Abdul Rahman berkata mereka yang belot terhadap keselamatan negara wajar menerima hukuman setimpal.

"Apa pilihan yang kita ada, tindakan tegas perlu dilakukan kerana isu ini membabitkan keselamatan negara dan tidak boleh tolak ansur.

"Saya akan melakukan apa saja untuk memastikan mereka yang terbabit dibawa ke muka pengadilan," katanya

No comments:

Post a Comment