KUANTAN 4 Okt. 2010 - Selepas kejadian ragut yang menimpa seorang kerani, Wan Noresah Mat Isa, 24, pada Jumaat lalu sehingga menyebabkan mangsa parah di kepala, tiga lagi kes berlaku tidak jauh dari lokasi yang sama di Taman Impian di sini kelmarin.
Salah seorang mangsa, Sarina Abdul Basid, 31, dari Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh di sini berkata, dia turut menjadi mangsa ragut sehari selepas kejadian yang berlaku kepada Wan Noresah.
"Ketika kejadian pada pukul 5.30 petang, saya sedang menunggang motosikal dari Taman Impian melalui jalan kebun menuju ke rumah bersama anak ketiga saya yang baru berusia 11 bulan.
"Kira-kira dua kilometer dari rumah, sebuah motosikal jenis Yamaha Sport berwarna merah yang dinaiki dua lelaki cuba menghampiri saya.
"Sebaik sahaja diarahkan supaya memberhentikan motosikal, saya segera mengikut kerana bimbang dilanggar atau ditendang," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Tambahnya, dia yang merupakan seorang ibu tunggal merayu kepada dua lelaki berkenaan sambil memeluk anaknya agar tidak diapa-apakan.
Namun, katanya, dua peragut itu merampas dompet yang diletakkan di bawah baju sejuk dalam bakul motosikal sebelum melarikan diri.
"Ekoran kejadian itu, saya segera membuat laporan polis kerana kehilangan kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai RM40," jelasnya.
Sehari sebelum itu, Wan Noresah dari Kampung Sungai Pinang di sini parah selepas dihentak dengan topi keledar sebelum diragut dalam kejadian pada pukul 9 malam Jumaat lalu selepas pulang dari tempat kerjanya.
Sementara itu, Nor Emylia Niza Zahid, 21, dari Taman Impian di sini turut mengalami kejadian yang sama ketika sedang menunggang motosikal bersama anak dan adiknya.
"Saya percaya penjenayah yang cuba meragut beg saya merupakan lelaki yang sama meragut Sarina. Ini kerana kejadian berlaku di tempat yang sama kira-kira sejam kemudian. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana sempat menjerit dan adik saya, Nor Zuriati, 19, memeluk erat anak saya, Wan Mazrizan Hakim Wan Mazran, 10 bulan ketika peragut itu menarik beg yang berada dalam bakul motosikal.
"Akibat jeritan saya, peragut itu melepaskan tali beg tersebut kerana bimbang dipukul penduduk yang mendengar jeritan saya," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang suri rumah, Norhasmida Abdul Kadir, 20, dari kawasan perumahan yang sama turut menjadi mangsa apabila rantai emas yang dipakainya turut diragut ketika menunggang motosikal.
"Selain merentap rantai, dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis Modenas Legenda turut mengambil beg duit yang diletakkan di dalam bakul kira-kira pukul 12 tengah hari di tempat dan hari sama," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan berkata siasatan lanjut masih diteruskan.
Monday, October 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment