A. thaiveegan (kanan) menunjukkan senjata dan peralatan yang digunakan oleh sindiket mencuri kenderaan selepas sidang akhbar di Gombak, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang didalangi penarik kereta ekoran penahanan empat lelaki dalam satu operasi di sekitar kawasan Desa Jaya dekat sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata, siasatan mendapati kesemua suspek dipercayai aktif dalam kegiatan jenayah itu sejak dua bulan lalu.
“Ekoran daripada peningkatan kes mencuri kenderaan, pihak kami menubuhkan sebuah pasukan khas bagi membanteras kegiatan ini.
“Hasil maklumat yang diperolehi selama dua minggu, polis berjaya menangkap empat suspek tersebut,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas dua buah lori dan menjumpai alat membuat kunci kenderaan yang digunakan setiap kali jenayah dijalankan.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan terhadap kereta Proton Satria milik suspek, pihak polis juga merampas 25 kunci pelbagai jenis selain menemui pelbagai senjata seperti parang samurai dan pisau,” ujarnya lagi.
Thaiveegan memberitahu, kesemua suspek yang ditahan berusia 26 tahun dan pernah memiliki rekod jenayah.
“Keempat-empat suspek mengaku mencuri dan menyamun kira-kira 20 buah lori di kawasan Desa Jaya dan Kepong bagaimanapun kesemuanya telah dijual di sebelah utara seperti di Batang Berjuntai, Changkat Jering dan Tambun Perak,” ujarnya lagi.
Tambahnya, siasatan masih diteruskan bagi mengesan seorang lagi suspek kes tersebut iaitu R. Yogendran, 26, memegang kad pengenalan bernombor 840518-14-6189 dan beralamat terakhir di D-06-08 Apartmen Mutiara Magna Kepong Baru, Kuala Lumpur.
Sementara itu, polis turut berjaya menahan tiga lelaki yang terlibat di dalam kes samun di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) San Yuk yang terletak di Rawang.
Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun dipercayai pernah terlibat dalam kes samun rumah dan sekolah sejak awal bulan ini.
“Mereka berjaya ditahan pada 17 dan 18 Oktober lalu di rumah masing-masing di sekitar Rawang.
“Dengan tertangkapnya suspek kita berjaya menyelesaikan 15 kes samun di sekitar Rawang,” katanya lagi.
Thursday, October 21, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment