Monday, October 18, 2010

Polis Terengganu tumpas sindiket edar heroin terbesar

2010/10/19
KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu melumpuhkan kegiatan pengedaran heroin terbesar di negeri ini, selepas menahan dua lelaki dan seorang wanita yang bekerja sebagai penjaga Pusat Asuhan Kanak-Kanak Terencat Akal di sebuah rumah di Kampung Padang Midin, di sini, Jumaat lalu.

Tiga suspek ditahan selepas sekumpulan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah yang menyerbu rumah berkenaan kira-kira jam 11.30 malam, dan menemui 287 botol dadah seberat kira-kira satu kilogram dalam kereta milik suspek berusia 39 tahun. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata pemeriksaan turut menemui 32 gram dadah disyaki ganja, sepucuk pistol separuh auto jenis Walther, kelopak peluru dan lapan peluru hidup .22 Caliber, selain rambut palsu, tali pinggang mempunyai logo polis dan sepucuk pistol tiruan.
Beliau berkata, polis turut merampas tiga botol dadah disyaki heroin kira-kira 10.5 gram, 46 pil dadah jenis Eramin 5 dan 51 peluru hidup jenis Caliber 9MM, serta sehelai jaket polis ketika pemeriksaan dilakukan dalam rumah sewa didiami lelaki berkenaan.

Katanya, hasil soal siasat polis melakukan pemeriksaan di pusat asuhan kanak-kanak dan merampas 21 peluru hidup jenis Caliber 9MM serta dua parang.

“Keseluruhan dadah jenis heroin dirampas dianggarkan bernilai RM418,640,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini, semalam.

Mohd Shukri berkata, siasatan lanjut mendapati suspek utama yang bekerja sebagai pendawai elektrik pernah ditahan di Skudai Johor kerana memiliki 10 kilogram ganja dan didakwa mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2004.
Bagaimanapun katanya, dia dibebaskan mahkamah dan ditahan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 2004 dan tamat sekatan di negeri ini dua tahun lalu.

“Wanita berusia 32 tahun berasal dari Taman Aman Lunas, Kulim, Kedah dipercayai teman wanita suspek utama dan bekerja sebagai penjaga di pusat asuhan itu, manakala lelaki berusia 27 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah adalah orang sekatan jenayah (PCO),” katanya.

No comments:

Post a Comment