Sunday, March 28, 2010

52 ditahan ketika leka sabung ayam

2010/03/29
KUALA LUMPUR: Sekumpulan 52 lelaki leka berjudi sabung ayam dan bola golek panik apabila mereka ditahan dalam serbuan di sebuah rumah pekerja di tapak pembinaan kondominium Victory, Taman Melati, Setapak di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, empat lelaki dipercayai dalang sindiket judi haram terbabit turut ditahan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) hasil maklumat awam dan risikan.

Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya menjalankan risikan selama tiga hari sebelum memberkas semua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an. “Ketika serbuan dilakukan, mereka sedang leka berjudi tanpa mempedulikan kehadiran pihak berkuasa yang mengepung kawasan terbabit.

“Ada di antara mereka (kaki judi) cuba meloloskan diri melalui laluan tikus ke hutan berhampiran yang disediakan penganjur namun berjaya ditahan,” katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati rumah terbabit dijadikan lokasi perjudian haram sejak dua minggu lalu dan sering dikunjungi kaki judi warga tempatan dan asing.

Malah, sindiket berkenaan juga mengupah ‘pengawal’ yang dilengkapi dengan ‘walkie talkie’ bertujuan mengelak daripada kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Difahamkan, sindiket judi haram ini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM20,000 bagi setiap pertaruhan. ‘Kasino’ ini juga meriah lebih-lebih lagi ketika cuti umum,” katanya.

Razali berkata, hasil serbuan pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM21,825, papan judi bola golek, judi 345 dan 18 ekor ayam sabung yang digunakan dalam kegiatan terbabit.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan judi haram ini diminta tampil di mana-mana balai polis berhampiran atau terus melaporkannya melalui ‘Rakan Cop’,” katanya.

No comments:

Post a Comment