Friday, March 12, 2010

Polis rampas 100kg ganja, tahan tiga lelaki

12/03/2010 5:30pm


PULAU PINANG 12 Mac 2010 – Sepasukan polis peronda Daerah Timur Laut menahan tiga lelaki, termasuk seorang penjawat awam serta merampas 100kg ganja dipercayai bernilai RM350,000 dalam satu pemeriksaan di kawasan Balai Bomba Air Itam di sini pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata, sebelum itu, polis menerima maklumat awam mengenai terdapat sebuah kenderaan yang mencurigakan pada pukul 4.12 pagi di kawasan berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota polis peronda kemudiannya membuat pemeriksaan terhadap kereta jenis Proton Wira dan menyoal siasat dua lelaki berusia 35 dan 40 tahun yang berada dalam kereta itu.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui ketulan-ketulan ganja mampat yang disimpan dalam beberapa buah beg pakaian dalam bahagian bonet kereta itu dan terus menahan kedua-dua lelaki terbabit,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, setelah menahan kedua-dua lelaki terbabit, polis kemudiannya menahan seorang lagi rakan mereka yang merupakan penjawat awam.

Ayub berkata, siasatan awal mendapati mereka yang ditahan terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di negeri ini sejak beberapa bulan lepas. – Bernama

No comments:

Post a Comment