Monday, March 29, 2010

Dua ahli sindiket curi kereta mewah ditangkap

JOHOR BAHRU 29 Mac 2010 - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket curi kereta mewah dengan tertangkapnya dua lelaki dan merampas lima buah kenderaan bernilai RM1.3 juta di Taman Permas Jaya, Khamis lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 32 dan 34 tahun itu ditahan semasa memandu sebuah kereta Toyota Alphard dengan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata, kereta tersebut dilaporkan hilang di Kelana Jaya, Selangor pada 21 Januari lalu.

"Hasil siasatan lanjut, polis berjaya merampas empat lagi kenderaan curi iaitu dua buah jenis Toyota Alphard serta masing-masing sebuah Toyota Hilux dan Honda Accord.

"Kesemua kenderaan berkenaan dilaporkan dicuri di sekitar Lembah Klang," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, kedua-dua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada polis Selangor untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, pihaknya percaya penangkapan dua lelaki tersebut dijangka dapat menyelesaikan kes-kes curi kereta mewah di sekitar Lembah Klang.

Dalam kes berasingan, Mohd. Mokhtar berkata, polis berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 47 dan 53 tahun kerana disyaki terlibat dengan kejadian samun di Benut, Pontian, Khamis lalu.

Katanya, dalam kejadian pukul 10.20 pagi itu, empat lelaki warga Indonesia bersenjatakan sepucuk pistol dan dua bilah parang memecah masuk sebuah kedai runcit.

"Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna biru ke arah Batu Pahat tetapi berjaya dikesan di Jalan Besar Senggarang, hasil maklumat awam.

"Menyedari kehadiran polis, kesemua suspek melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran bekas Lapangan Terbang Tanjung Laboh, Senggarang," katanya.

Katanya lagi, hasil tindakan pantas polis, seorang suspek berusia 53 tahun berjaya ditahan pada pukul 11.30 pagi, manakala seorang lagi ditahan pukul 7.30 pagi keesokannya.

Mohd. Mokhtar berkata, polis juga berjaya merampas wang tunai RM974, dua buah telefon bimbit, dua utas jam tangan jenama Omega dan Guess, sepucuk revolver berisi lima butir peluru serta gelang tangan pelbagai bentuk.

Katanya, kumpulan tersebut dipercayai terlibat dalam 11 kes samun di daerah Batu Pahat, dua kes di Ledang dan masing-masing satu di Pontian dan Kota Tinggi.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(A) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment