KUALA TERENGGANU: Dua lelaki yang berhibur di sebuah pusat karaoke di Paka, Dungun bukan saja bersikap biadap kerana mengganggu beberapa pelanggan wanita, malah berlagak samseng apabila cuba mencederakan anggota polis dengan topi keledar, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, perbuatan dua lelaki terbabit yang berasal dari Taman Al-Muktafi Billah Shah membawa padah apabila ditahan beberapa anggota polis lain.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, dua sahabat yang bekerja sebagai buruh binaan dan pemandu jentera berat dikatakan mengganggu beberapa wanita di sebuah pusat karaoke.
Katanya, sikap kurang ajar dua lelaki berusia 21 dan 19 tahun itu menyebabkan pekerja di situ terpaksa menghubungi polis bagi menghalang mereka.
Namun, katanya kehadiran beberapa anggota polis di lokasi itu bukan saja tidak mendapat kerjasama dua lelaki terbabit, malah mereka dibaling dengan topi keledar.
"Menyedari suspek bertindak agresif, anggota kami kemudian menggunakan kemahiran mereka dan berjaya menumpaskan dua lelaki terbabit sebelum dibawa ke Balai Polis Paka,'' katanya di sini, semalam.
Manoharan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sunday, March 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment