KANGAR 26 Mac 2010 - Seorang suri rumah, Mardiana Mohamad, 31, dari Jalan Santan di sini kesal dengan tindakan penarik kereta yang 'menahannya' bersama tiga lagi ahli keluarganya di sebuah stor di Alor Setar sementara menunggu bayaran tunggakannya diselesaikan .
Menurutnya, dia bersama-sama anaknya, Afif Al-Iqram, 2, yang menghidap penyakit asma kronik; anak saudaranya, Armarsya, 3, dan ibunya, Aminah Ismail, 51, telah ditahan selama dua jam di stor berkenaan tanpa belas kasihan dan di tengah panas matahari.
"Saya telah merayu kepada lelaki terbabit agar membenarkan saya menghantar ahli keluarga pulang terutama anak yang tidak boleh terdedah pada habuk dan ibu pula menghidap penyakit jantung," katanya di pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun rayuannya itu tidak diendahkan, sebaliknya lelaki berkenaan meninggalkan mereka di sebuah stor yang hanya dikelilingi zink.
Dakwa Mardiana, semasa lelaki terbabit mengambil keretanya, mereka tidak menunjukkan sebarang surat kuasa kebenaran sama ada daripada bank mahupun pihak polis untuk membenarkan mereka berbuat demikian.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika dia menghantar anaknya ke Pusat Perubatan Kedah (KMC) bagi rawatan susulan anaknya.
Katanya, sebaik sahaja selesai urusan di KMC, dia dan keluarganya terus ke tempat meletak kenderaan dan telah ditegur oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.
"Ketika hendak membuka pintu kereta, lelaki terlibat menyatakan dia hendak menarik kereta saya kerana tidak membayar ansuran bagi kenderaan tersebut," katanya.
Kata Mardiana, lima minit kemudian seorang lagi lelaki yang mendakwa dirinya ketua penarik kereta muncul dan meminta dia menyerahkan kunci kereta.
Mardiana sempat menelefon suaminya, Mahadzir Mohd. Saad, 41, yang kemudiannya bercakap dengan lelaki terbabit.
"Dalam perbualan itu, lelaki berkenaan bersetuju menghantar saya ke CIMB untuk menyelesaikan tunggakan hutang dan saya juga telah menelefon bapa saudara di Alor Setar untuk menunggu kami di bank tersebut," katanya.
Bagaimanapun, Mardiana terkejut apabila lelaki tersebut tidak membawa mereka ke bank seperti dijanjikan sebaliknya ke sebuah kawasan stor yang kawasan sekelilingnya berpagar zink di Jalan Lencong Barat, Alor Setar.
Akibat terlalu lama menunggu dalam keadaan cuaca panas dan berhabuk, anak Mardiana mengalami batuk-batuk dan sesak nafas.
Menurut Mardiana, mereka hanya dilepaskan setelah pihak bank menghantar salinan pembayaran kepada kerani di stor berkenaan.
Mardiana dan suami kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Alor Setar manakala keesokan harinya dia turut membuat laporan kepada seorang pegawai bank berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan tindakan penarik kereta terbabit.
Bagaimanapun pegawai berkenaan hanya meminta dia membuat laporan polis.
Friday, March 26, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment