Oleh Badrul Hizar Ab Jabar
bhizar@bharian.com.my
2010/03/30
Hang Tuah Mall jadi ‘pasar haram’ mat gian cari pelanggan
MELAKA: Hang Tuah Mall di Jalan Hang Tuah, di sini, yang dimajukan kerajaan negeri dengan menggunakan konsep Bintang Walk seperti di Kuala Lumpur, sememangnya terkenal di kalangan penduduk tempatan atau pelancong luar sebagai kawasan beli-belah yang menyajikan pelbagai produk.
Selain jalan raya sepanjang 1.2 kilometer di situ menjadi lokasi rasmi perarakan sambutan beberapa hari kebesaran negeri, kawasan yang dibangunkan dengan kos kira-kira RM8.5 juta itu juga menjadi tumpuan orang ramai pada waktu malam, kerana lokasi sekitarnya dihiasi dengan lampu berwarna-warni. Namun, di sebalik populariti indah yang dicanangkan itu, nama Hang Tuah Mall kini turut dicemari dengan aktiviti tidak sihat. Isu ini timbul apabila ada di kalangan beberapa individu, dipercayai penagih dadah, dikesan menjadikan kawasan itu sebagai tapak untuk mereka berniaga barangan curi.
Aktiviti berkenaan dikatakan sudah lama berlaku dan semakin aktif sejak kebelakangan ini. Perkembangan itu sedikit sebanyak mula menimbulkan kebimbangan di kalangan orang ramai dan berharap perkara itu dapat dibendung segera.
Berita Harian baru-baru ini menjalankan siasatan sendiri bagi melihat kebenarannya dan tinjauan pertama di lokasi yang letaknya antara dua bank di jalan terbabit. Di kawasan berkenaan, dikesan seorang lelaki kerap menghampiri pemandu kenderaan yang meletakkan kenderaan untuk berurusan sebuah di bank berhampiran.
Didapati lelaki berkenaan memang cuba menawarkan sesuatu kepada pemandu terbabit untuk membelinya. Selepas melihat secara dekat, didapati barangan berkenaan adalah beberapa telefon bimbit dan kamera pelbagai jenama.
Semua barangan itu disimpan dalam poket seluar atau baju. Mereka hanya akan mengeluarkannya jika menghampiri sasaran.
Selepas beberapa lama memerhatikannya, Berita Harian cuba menghampiri lelaki berkenaan dengan menyamar sebagai pembeli bagi mendengar sendiri cara dia memujuk. Percubaan pertama berjaya apabila lelaki berkenaan tidak mengesyaki apa-apa.
Tanpa diminta dia menunjukkan seunit kamera digital bersama sebuah beg dan mula menawarkan harga.
"Kamera ini kalau di luar harganya beribu ringgit. Berapa kamu mahu? Kalau mahu, tunggu saya di lorong sana, tetapi kena cepat, takut orang nampak," katanya. Penulis mengikut arahannya dan terus bergerak ke lorong berkenaan.
Pada mulanya, lelaki itu meletakkan harga RM1,200, kemudian bersetuju menurunkan harga pada RM200 selepas ditawar beberapa kali.
"Betul bang... ini kamera memang seperti jurugambar profesional guna," katanya sambil turut menunjukkan telefon bimbit berjenama di bawah bajunya.
Selepas tidak dipedulikan, lelaki berkenaan dilihat beredar sambil mendekati beberapa lagi pemandu kenderaan yang lain di situ.
Dalam pada itu, seorang peniaga makanan di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 30, mendakwa selain menjual barangan dipercayai curi, individu terbabit juga menjual barangan palsu seperti telefon bimbit tanpa disedari pembeli.
"Aktiviti seperti ini masih terus berlaku selagi ada orang sanggup membeli barangan curi. Saya percaya kegiatan ini bukan berlaku di Hang Tuah Mall saja, malah menular di sekitar bandaraya. Oleh itu, tindakan yang tegas dan berkesan perlu diambil oleh pihak berwajib supaya gejala ini dibendung dengan segera,” katanya.
Monday, March 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment