Monday, March 29, 2010

Wanita China seludup 1.8kg heroin ditahan

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

PULAU PINANG 29 Mac 2010 - Curiga dengan penampilan seorang wanita yang memakai pakaian lebih besar daripada saiznya, anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) telah bertindak menahannya.

Tindakan itu ternyata tidak sia-sia apabila pemeriksaan ke atas wanita warga China itu menemui dadah jenis heroin No.4, seberat 1.8 kilogram yang diikat pada lengan dan kakinya.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kesemua dadah itu dianggarkan berharga RM250,000 mengikut harga pasaran.

Beliau berkata, suspek berusia 40-an ditahan pada pukul 6.35 pagi ketika hendak berlepas ke Hong Kong.

"Dia ditahan setelah berada dalam keadaan mencurigakan kerana mengenakan pakaian bersaiz besar dan cara berjalan yang kekok," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menyita sebuah komputer riba milik suspek dan pelbagai jenis mata wang asing berjumlah RM4,700.

Menurut Tun Hisan, suspek kini direman sehingga 4 April ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek telah datang beberapa kali ke negara ini khususnya di Pulau Pinang.

"Kebiasaannya, suspek berada di negara ini antara tiga dan empat hari untuk setiap lawatan serta menginap di beberapa buah hotel," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, pemeriksaan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyebabkan sindiket pengedaran dadah mula mencari pintu keluar masuk yang baru termasuk LTABL.

Jelasnya, berikutan senario terkini itu, polis mula meningkatkan pemantauan dan kawalan di LTABL.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di lapangan terbang jika curiga dengan perwatakan atau gaya seseorang.

"Kalau orang kurus berpakaian hingga jadi gemuk, jalan pun kekok, tentu ada yang tidak kena pada orang itu.

"Lapor segera kepada polis supaya kita boleh buat pemeriksaan bagi membendung negara ini menjadi transit pengedaran dadah," ujarnya.

No comments:

Post a Comment