Friday, March 26, 2010

Penyelia TNB mati ditetak

SHAH ALAM 26 Mac 2010 - Angkara dendam, sekumpulan lima lelaki bertindak mengejar dan menetak hingga mati seorang penyelia pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran sebuah tanah perkuburan Cina di Seksyen 21 di sini malam tadi.

Kejadian berlaku pukul 8.30 malam ketika mangsa, Fauzi Fazar Rahman, 29, yang berasal dari Sabah, sedang menjalankan pemeriksaan rutin di pencawang elektrik yang terletak 50 meter dari tanah perkuburan Cina tersebut.

Kumpulan lelaki terbabit dipercayai menunggu mangsa tidak jauh dari kawasan itu untuk menyerangnya.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, mangsa yang ternampak kelibat lima lelaki berkenaan dikatakan lari ke arah tanah perkuburan Cina itu untuk menyelamatkan diri namun gagal.

Mangsa akhirnya rebah di longkang di tepi tanah perkuburan itu akibat cedera parah selepas ditetak bertubi-tubi.

Menurut beliau, kira-kira setengah jam kemudian, penjaga tanah perkuburan itu yang baru tiba untuk bertugas ternampak mangsa terbaring berlumuran darah dan segera menghubungi ambulans.

"Mangsa yang cedera parah di seluruh badan terutama di kepala akibat ditetak meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang kira-kira pukul 3.50 pagi ini," katanya.

Menurut Noor Azam, siasatan awal percaya serangan itu bermotifkan dendam. Beliau meminta sesiapa yang menyaksikan kejadian tampil membantu polis menyelesaikan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment