KUANTAN 19 Mac 2010 - Empat penjenayah bersenjata parang bukan setakat melarikan wang tunai RM2,000 dan barangan berharga milik seorang wanita di sebuah rumah kedai papan di Kampung Bukit Puas Sokti, Jerantut semalam, malah turut membelasah mangsa dan ahli keluarganya.
Dalam kejadian pukul 1.10 pagi itu, empat suspek dipercayai warga asing menutup muka masing-masing dengan kain ketika memasuki rumah mangsa ketika ahli keluarganya yang lain sedang tidur.
Pegawai Turus Urus Setia Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, mangsa berusia lingkungan 50-an sebelum itu tidur di ruang tamu bersama suaminya.
Menurutnya, wanita itu kemudian bangun untuk pergi ke tandas yang terletak di luar rumah.
"Ketika dia membuka pintu dapur, tiba-tiba muncul seorang suspek bersenjatakan parang dan cuba untuk masuk ke dalam rumah itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Noor Asyikin, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sehingga menyebabkan mangsa cedera di muka selain luka di cuping telinga dan leher akibat dipukul dan terkena parang milik suspek.
"Wanita itu bagaimanapun sempat menarik kain yang menutup muka suspek sebelum mangsa menyerah kalah apabila muncul tiga lagi suspek membantu rakannya," katanya.
Pada masa sama, kata beliau, ahli keluarganya yang lain turut terjaga dari tidur setelah terdengar bunyi bising akibat pergaduhan itu.
"Suspek kemudian mengarahkan lima ahli keluarga berkenaan berkumpul dalam bilik anak perempuan wanita itu dan diawasi salah seorang daripada ahli kumpulan itu," katanya.
Malah, penjenayah itu turut bertindak kejam apabila sanggup mengheret suami wanita itu ke dalam bilik berkenaan disebabkan dia uzur dan tidak mampu berjalan.
"Suspek kemudian menggeledah rumah tersebut dan mengambil wang tunai RM2,000, telefon bimbit dan jam tangan keseluruhannya bernilai RM4,000.
"Selepas berada di rumah itu selama kira-kira tiga jam, keempat-empat suspek melarikan diri dipercayai dengan menaiki motosikal dan kereta," ujarnya.
Friday, March 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment