Oleh Suraya Roslan
bhkt@bharian.com.my
2010/03/23
Pengusaha bot pukat tunda ceroboh pesisir pantai berebut candat sotong
SEBERANG TAKIR: Seramai 400 nelayan di Kampung Kolam, Mengabang Telipot, di sini bimbang periuk nasi mereka terjejas apabila segelintir pengusaha bot pukat tunda menceroboh pesisir pantai terutama dengan memanfaatkan musim mencandat sotong di negeri ini apabila tidak ramai nelayan pantai menangkap ikan.
"Perlakuan mereka tidak ubah seperti lanun di bumi sendiri, apa tidaknya mereka sanggup menghampiri kawasan tepi pantai dan mengaut hasil laut sesuka hati dengan menggunakan pukat tunda," keluh Abdullah Ghani, 53, yang menjadi nelayan lebih 30 tahun lalu.
Abdullah berkata, sejak kebelakangan ini pengusaha bot pukat tunda seolah-olah bermaharajalela di kawasan pesisir pantai untuk mendapatkan hasil laut. Katanya, memandangkan musim mencandat sotong sudah tiba bermula bulan Mac hingga September, nelayan di sini lebih tertumpu dengan menjalankan aktiviti mencandat bagi menambah pendapatan.
Namun, dengan kehadiran bot pukat tunda yang dilihat semakin berani menceroboh perairan kawasan berdekatan pantai, maka punca pendapatan mereka semakin berkurangan sehingga ada yang hanya mampu untuk menampung kos minyak tanpa mendapat hasil seperti yang dijangkakan.
Abdullah berkata, dia dan rakan lain yang menggunakan bot gentian kaca sering terserempak dengan bot pukat tunda terutama pada sebelah malam dan kehadiran bot itu mengganggu aktiviti nelayan pantai.
"Kehadiran bot pukat tunda bukan saja memusnahkan hidupan laut, malah turut merosakkan unjam yang dipasang nelayan pesisir pantai bagi menarik hidupan laut bersarang di kawasan berkenaan, katanya.
Mohd Azdy Alias, 27, pula terkilan apabila aduannya sebelum ini kepada pihak berkuasa seperti tidak menampakkan kesan bagi membanteras kegiatan bot pukat tunda menceroboh kawasan pantai.
"Pernah berlaku beberapa kejadian bot nelayan yang keluar mencandat sotong ditunda bot pukat tunda sehingga lebih dua kilometer sebelum pemilik bot terpaksa memotong tali sauh untuk menyelamatkan diri, katanya.
Azdy berkata, kelibat lebih 10 buah bot pukat tunda dilihat dalam sehari berlegar mencuri hasil laut di kawasan pantai, ini akan merugikan nelayan pantai berikutan hasil laut habis disamun pemilik pukat tunda yang bermaharajalela.
Malah, hasil tangkapan nelayan pantai turut berkurangan yang mana dahulunya purata tangkapan antara 30 hingga 50 kilogram sotong setiap hari, namun kini untuk mendapatkan 10 kilogram amat sukar dan ada kalanya pulang dengan tangan kosong.
"Satu-satu 'kandang' berukuran satu kilometer persegi tempat sotong bertelur boleh bertahan hampir sebulan sekiranya menggunakan kaedah mencandat, namun sotong habis dengan cepat kerana habis bot pukat tunda dalam tempoh beberapa jam saja," katanya.
Seorang lagi nelayan, Zakaria Hassan, 65, berkata dia berharap pihak berkuasa mengatasi masalah itu kerana bot pukat tunda tidak boleh menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan pantai kerana akan menjejaskan kehidupan laut di kawasan berkenaan.
"Saya berharap Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia membuat pemantauan menyeluruh kerana ini membabitkan periuk nasi nelayan di sini," katanya.
Monday, March 22, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment