Wednesday, March 10, 2010

Anak bekas Setiausaha Sulit Paklah diperintah ditempatkan di Hospital Bahagia (10/3/10)

PETALING JAYA: Anak bekas setiausaha sulit kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menghadapi tuduhan memiliki sebutir bom tangan hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Majistret ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak setelah laporan perubatan mendapati ketika kejadian tertuduh tidak waras.

Muhammad Ezra Rusli, 28, turut menghadapi dua lagi tuduhan mengugut bapanya, Datuk Rusli Adbul Malik, 62, menggunakan sepucuk pistol jenis Glock dan serta tuduhan mengugut mendatangkan kecederaan.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan tersebut di sebuah rumah beralamat C2-67 D''Shire Villa, Jalan Camar 4, Kota Damansara, antara jam 3.30 petang hingga 5 petang, 8 September tahun lalu.



Majistret Aishah Hijriah Arshad memutuskan Muhammad Ezra telah melakukan perbuatan sepertimana pertuduhan dan setelah mengambil kira laporan perubatan yang disediakan oleh hospital berkenaan, mahkamah berpuas hati bahawa ketika kejadian tertuduh didapati tidak waras.

Aishah mengeluarkan satu perintah di bawah Seksyen 348(1) Kanun Keseksaan untuk menempatkan Muhammad Ezra di hospital tersebut mengikut perkenan Sultan Selangor.

Keputusan itu dibacakan oleh pendaftar Latifah Ibrahim kerana Aishah sedang bercuti.

Timbalan Pendakwa Raya Choo Hueay Ting hadir untuk pihak pendakwaan dan Muhammad Ezra diwakili peguam Selvi Sandrasegaram.

- Bernama

No comments:

Post a Comment