Wednesday, March 31, 2010

Polis rampas 62 komputer judi

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my



Anggota polis dibantu oleh Pasukan Gerakan Marin merampas 62 unit komputer dipercayai digunakan sebagai mesin pertaruhan judi pada satu serbuan di Kompleks Seri Relau, Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 31 Mac 2010 - Polis merampas 62 unit komputer dipercayai digunakan sebagai mesin pertaruhan perjudian dalam dua serbuan di Kompleks Sri Relau, Persiaran Bukit Jambul di sini malam tadi.

Dalam operasi 'Ops Dadu' kira-kira pukul 8 malam itu, seramai sembilan orang termasuk seorang wanita tempatan dan seorang rakyat Indonesia yang tidak mempunyai pasport ditahan.
Operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Polis negeri diketuai Cif Inspektor Siti Nor Salawati Saad dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Satu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II Wan Abdullah Tunku Said berkata, dalam serbuan pertama, sebanyak 23 komputer yang digunakan untuk pelbagai jenis perjudian telah dirampas.

Menurutnya, beberapa helai kertas tercatat nilai hasil pertaruhan, dua buku rekod akaun pertaruhan, tiga alat kawalan jauh disyaki bagi mengawal program, wang tunai RM3,763 dan satu perisian program pertaruhan turut dirampas.

"Dalam serbuan itu, seramai empat orang telah ditahan iaitu seorang wanita Indonesia yang tidak memiliki pasport, seorang wanita dan lelaki yang bekerja sebagai penjaga serta seorang lelaki pengutip hasil pertaruhan," katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kesalahan yang dilakukan oleh empat individu itu adalah menjalankan kegiatan perjudian mesin komputer haram, tidak mempunyai lesen hiburan awam dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

Dalam serbuan kedua pula, katanya, sebanyak 39 mesin komputer, dua alat kawalan jauh, dua helai kertas mengandungi akaun pertaruhan serta wang tunai RM700 berjaya dirampas.

Serbuan dilakukan pada pukul 8.40 malam dan ketika itu, seramai lima lelaki terdiri daripada seorang penjaga dan empat pelanggan ditahan bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati, premis itu menjalankan kegiatan perjudian mesin komputer haram, tidak mempunyai lesen hiburan awam dan bermain pertaruhan perjudian mesin komputer haram," ujarnya.

No comments:

Post a Comment