Monday, March 22, 2010

Sabah & Sarawak: Ulat tiket lagak samseng

Oleh Kandau Sidi
kandausidi@bharian.com.my
2010/03/23
Beg penumpang dirampas, paksa langgan khidmat bas ekspres

MIRI: Kehadiran mereka mungkin tidak seramai ulat tiket di Puduraya, di ibu negara, Kuala Lumpur.

Namun, gelagat dan sikap berlagak samseng kumpulan itu yang semakin menjadi-jadi cukup menjengkelkan.

Ada kalanya, secara sengaja mereka bertindak kasar terhadap penumpang dan menghalang laluan setiap kenderaan awam yang memasuki pintu masuk ke terminal perhentian utama bas ekspres di bandar raya ini di utara Sarawak. Kononnya, ialah bagi membantu individu atau penumpang yang ingin membeli tiket di kaunter bas disediakan syarikat bas di terminal itu.

Mereka umpama orang tengah atau ejen tiket yang dilantik syarikat bas bagi mendapatkan pelanggan supaya menggunakan perkhidmatan mereka.

Sedangkan ulat tiket itu berebut-rebut mendapatkan habuan kira-kira RM1 hingga RM5 bagi setiap penumpang yang membeli tiket menerusi mereka.

Tinjauan Berita Harian di terminal bas berkenaan mendapati ada lebih 10 individu yang bertindak menjadi perantara ejen tiket haram itu.

Kumpulan itu akan menunggu penumpang bas di setiap pintu masuk ke terminal bas berkenaan. Sejurus keluar daripada kenderaan setiba di terminal itu penumpang akan ditawarkan bas yang ingin dinaiki.

Mereka berebut-rebut dan tanpa diarah akan merampas beg penumpang supaya melanggan perkhidmatan bas ekspres ditawarkan.

Difahamkan setiap penumpang yang dibawa untuk membeli tiket bas ekspres akan diberikan habuan oleh syarikat bas ekspres di situ.

Seorang penumpang bas ekspres, Sulaiman Taha, 45, berkata sikap biadap ulat tiket berkenaan perlu ditangani segera.

Memang menjadi hak orang ramai untuk memilih bas ekspres mana yang mereka hendak naik. Tak perlu ditunjuk, melainkan kita minta berbuat demikian. Saya pernah nampak mereka tarik beg seorang wanita tua yang ingin membeli tiket bas di terminal ini sehingga putus, semata-mata untuk mendapatkan habuan RM1 hingga RM5 yang dipercayai disediakan syarikat bas di situ, katanya.

Terminal Bas Ekspres Pujut satu-satunya terminal perhentian bas ekspres bagi lebih 10 syarikat bas yang beroperasi untuk laluan seluruh Sarawak, termasuk ke Kota Kinabalu, Sabah dan Pontianak, Indonesia.

Sulaiman berkata, masalah yang sama bukan saja berlaku di terminal bas ekspres Pujut, malah di hampir semua terminal bas di seluruh negeri ini.

Situasi yang sama, katanya, berlaku di Bintulu, Sibu, Sarikei dan Kuching.

Justeru, beliau mahu supaya pihak berkuasa tempatan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), pegawai Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mengatasi segera masalah berkenaan.

Ambil tindakan tegas terhadap syarikat bas yang lantik ulat tiket kerana ia tidak mendatangkan kebaikan. Bagi bandar raya ini, ia boleh menjejaskan imej dan industri pelancongan kerana sikap tidak bertanggungjawab ulat tiket berkenaan. Jangan hanya tunggu waktu perayaan baru nak letakkan anggota penguatkuasa di terminal bas berkenaan.

Sikap ini seolah-olah melepaskan batuk di tangga, katanya.

No comments:

Post a Comment