JOHOR BAHRU 5 Mac 2010 – Ramai berpendapat jiran adalah orang yang paling rapat dan antara individu terawal yang sepatutnya dihubungi sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
Namun lain pula yang terjadi di sebuah taman perumahan di Taman Johor Jaya, dekat sini apabila seorang lelaki disyaki sanggup memecah masuk rumah jirannya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, suspek yang berusia 52 tahun ditahan kira-kira sembilan jam selepas disyaki melakukan jenayah tersebut.
Beliau berkata, suspek ditahan kira-kira pukul 4.30 pagi pada 22 Februari lalu di rumahnya di Jalan Dedap, Taman Johor Jaya.
“Pada 21 Februari lalu lebih kurang pukul 8 malam, pengadu, seorang lelaki telah membuat laporan polis bahawa rumahnya dipecah masuk melibatkan kehilangan wang tunai, barang kemas, peralatan elektrik dan dua buah motosikal yang kesemua bernilai RM15,000.
“Bertindak atas maklumat itu, pada keesokannya sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam telah membuat serbuan di sebuah rumah di taman yang sama,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Hasil pemeriksaan, polis menemui semula barangan curi yang disorokkan di sebuah rumah kosong berhampiran dengan kediaman suspek.
Roslan berkata, antara barang yang dijumpai adalah satu alat pemotong besi, dua unit pemotong jubin, tiga pemain cakera padat digital (DVD) jenama Pioneer, sebuah pembesar suara dan dua unit woofer.
Katanya, ketika kejadian, mangsa yang berusia lingkungan 30-an dan bekerja sebagai peniaga tiada di rumah kerana keluar bekerja.
Menurutnya, suspek yang tinggal selang empat buah rumah dari rumah mangsa telah ditahan reman 10 hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Friday, March 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment