Monday, March 22, 2010

Buruh binaan dipenjara 7 tahun cuba bunuh anggota polis

22/03/2010 3:37pm


KUALA LUMPUR 22 Mac — Seorang buruh binaan warga Indonesia hari ini dijatuhi hukuman penjara selama tujuh setengah tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana kesalahan cuba membunuh seorang anggota polis dua tahun lepas.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu terhadap Naldiman Ali, 42, yang mengaku bersalah.

Ahmad Kamar memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula dari tarikh Naldiman ditangkap pada 18 Mac 2008.

Naldiman didakwa cuba membunuh Lans Koperal Zahiruddin Zainudin dengan menggunakan pisau di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Jalan Duta pada pukul 1.30 pagi 18 Mac 2008.

Mengikut fakta kes yang dibentangkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzul Iswari Mohd Jaafar, semasa sepasukan anggota polis membuat intipan berhampiran sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, polis telah melihat dua orang dalam keadaan mencurigakan dengan menyeberangi lebuh raya dan menyembunyikan diri dalam longkang.

Polis kemudiannya menghampiri kedua-dua lelaki itu dan apabila mereka memperkenalkan diri, kedua-dua lelaki berkenaan melarikan diri dan anggota polis terus mengejar mereka.

Zahiruddin berjaya menahan Naldiman dan berlaku pergelutan lalu Naldiman telah menikam di bahagian perut Zahiruddin dengan sebilah pisau menyebabkan anggota polis itu mengalami kecederaan luka di bahagian kanan perut dan turut mengalami kehilangan darah.

Peguam V. Samynathan, memohon supaya Naldiman dikenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh memperoleh pendapatan hanya RM400 sebulan serta perlu menanggung isteri dan empat orang anak di Indonesia. - Bernama

No comments:

Post a Comment