Wednesday, March 31, 2010

Wanita Thai dalang sindiket edar dadah diberkas

KUALA TERENGGANU 31 Mac - Seorang wanita warga Thailand yang diburu sekian lama kerana menjadi dalang sindiket pengedaran dadah di negeri ini, akhirnya berjaya diberkas ketika ingin menghadiri kenduri kahwin saudaranya di Rantau Panjang, Jumaat lalu.

Suspek yang berusia 32 tahun dan berasal dari Nakonsitamrat, Thailand, itu ditahan berhampiran terminal Imigresen di Rantau Panjang, Kelantan, kira-kira pukul 12 tengah hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Roslan Abd. Wahid berkata, suspek adalah dalang satu sindiket pengedaran beberapa jenis dadah yang berjaya ditumpaskan polis tahun lalu.

Katanya, siasatan turut mendapati, suspek memiliki dua kerakyatan iaitu negara ini dan Thailand, bagi mengabui mata pihak berkuasa.

Tambah beliau, suspek juga merupakan isteri kedua kepada seorang pengedar dadah yang diberkas tahun lalu.

"Suspek yang mempunyai empat anak itu sangat licik dan pergerakannya sukar dikesan. Dia disyaki menyembunyikan diri di Thailand sejak tahun lalu.

"Wanita itu juga menggunakan ejen tertentu untuk membawa dadah bagi mengelakkan diri dikesan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, ketika ditahan, suspek berpura-pura tidak faham bahasa Melayu tetapi identitinya terbongkar apabila dirujuk ke pejabat pendaftaran di sini.

"Pemeriksaan di pejabat pendaftaran mendapati suspek sebenarnya memiliki dua kerakyatan," ujarnya.

Katanya, selain dalang sindiket pengedaran dadah dari Thailand, suspek turut terlibat menyeludup minyak di Rantau Panjang.

Dalam kejayaan lain, kata Roslan, seorang petani berusia 37 tahun yang dikehendaki kerana gagal hadir perbicaraan satu kes dadah melibatkannya selepas dibebaskan dengan jaminan berjaya diberkas polis, Jumaat lalu.

"Siasatan mendapati, dia bersembunyi di kebun pisang di Tepoh, sepanjang tempoh itu, dan dipercayai masih menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

"Sebelum ini, 10 pekerjanya juga terdiri daripada penagih-penagih dadah. Suspek turut dipercayai menggunakan isterinya yang merupakan warga Thailand untuk mendapatkan bekalan dadah," ujarnya.

Katanya, suspek berjaya diberkas ketika cuba melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya di persimpangan tasik Kenyir.

"Kereta Mitsubishi Storm yang mereka naiki terbabas ke dalam longkang. Suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985.

"Suspek dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah dengan pengusaha besi buruk yang ditangkap di Kampung Banggol Air Lilih, Batu Enam di sini pada 10 Februari lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment