Friday, March 12, 2010

Grafiti makin menjadi-jadi di JB

Oleh AZIZI MAJID
editjohor@utusangroup.com.my

JOHOR BAHRU 12 Mac 2010 - Bandar raya Johor Bahru bukan saja berhadapan dengan masalah vandalisme akibat pelekat iklan ah long dan ubat perangsang seks yang kian menjadi-jadi malah turut dicemari dengan lukisan grafiti.

Tinjuan Utusan Malaysia di sini baru-baru ini mendapati rata-rata warga Johor Bahru rimas dengan 'karya seni yang tak diundang' tersebut pada tembok dan dinding terutama sekali pada jejambat.

Lukisan grafiti atau contengan dinding antaranya boleh dilihat di jejambat Jalan Tun Abdul Razak dan di Susur 2, Jalan Tun Abdul Razak berhampiran pusat membeli belah Danga City Mall di sini.

Kebanyakan lukisan itu memaparkan antaranya imej, perkataan dan corak berwarna warni.

Difahamkan lukisan tersebut telah sekian lama 'menghiasi' dinding dan tembok berkenaan namun tiada usaha yang dilakukan oleh pihak berwajib untuk mengatasinya.

Bagi seorang penghantar surat, Nazri Ahmad, 23, berkata, pihak berkuasa tempatan harus mengambil tindakan tegas kepada individu yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Beliau berkata, tindakan itu penting bagi mencegah perbuatan tersebut daripada terus berleluasa pada masa akan datang.

''Bandar raya ini merupakan pintu masuk negara di selatan tanah air dan dilawati oleh ramai pelancong luar.

''Kita tidak mahu mereka bandar raya ini dicemari dengan vandalisme sehingga memberi persepsi negatif kepada pelancong luar," katanya.

Sementara itu, pekerja kilang, Mohd. Anuar Yatim, 35, berkata, pihak berkuasa haruslah mencari jalan alternatif bagi membolehkan individu kreatif tersebut untuk meluahkan kreativiti mereka.

Katanya, pihak berkuasa tempatan mungkin boleh menyediakan lokasi sesuai yang dikhaskan untuk pencinta lukisan untuk 'berkarya'.

''Lukisan grafiti ini kalau kena tempatnya dan caranya boleh menjadi daya tarikan kerana ia unik.

''Bagaimanapun kita tidak mahu orang ramai yang memiliki kreativiti tersebut untuk menyalahgunakan bakat mereka kepada jalan yang tidak betul," katanya.

No comments:

Post a Comment