Friday, March 12, 2010

Lelaki ditahan bersama 4kg ganja

2010/03/13
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki, ditahan bersama kira-kira empat kilogram ganja dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Damai, Senai, Selasa lalu.

Lelaki berusia 32 tahun itu yang memiliki lima rekod jenayah lampau ditahan sepasukan anggota bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kulaijaya selepas mendapat maklumat orang ramai jam 12.40 tengah hari.

Selain dadah itu yang bernilai RM10,000, turut dirampas, wang tunai RM10,943 ditemui dalam rumah berkenaan dan sebuah Proton Wira dilaporkan hilang di negeri ini. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata ujian air kencing ke atas lelaki itu mendapati dia positif dadah jenis ganja.

“Kita percaya dadah berkenaan adalah untuk diedarkan di kawasan sekitar Kulaijaya, Senai dan Johor Bahru,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, semalam.

Katanya, lelaki terbabit kini ditahan reman selama seminggu hingga 16 Mac untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1985.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Mokhtar berkata, pihaknya menumpaskan satu kumpulan dianggotai tiga lelaki dan wanita disyaki terbabit dalam kes samun dan pengedaran dadah di Taman Johor Jaya, di sini Jumaat minggu lalu.

Ia berikutan serbuan ke atas sebuah rumah pada kira-kira jam 4.15 petang sebelum polis menemui pelbagai jenis barangan curi dan dadah jenis ketamin, syabu, eremin 5 serta pil WY.

"Kita juga menemui dua buah kereta, peralatan elektrik, peralatan audio kereta, jam tangan, barangan kemas serta telefon bimbit dipercayai dicuri," katanya.

Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati dua daripada yang ditahan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun memiliki rekod jenayah sebelum ini membabitkan Akta Dadah Berbahaya serta dikehendaki polis berkaitan kes di Majidee dan Skudai.

No comments:

Post a Comment