PETALING JAYA 6 Mac 2010 - Polis tidak menolak kemungkinan faktor perselisihan faham menjadi motif utama seorang bekas tentera British ditemui mati dengan kesan kelar di leher di rumahnya di SS2 di sini, semalam.
Sehubungan itu, teman wanita mangsa yang berkerja sebagai guru piano ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.
Wanita yang berusia 34 tahun itu kini ditahan reman selama lima hari, bermula semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan kini menjurus kepada wanita itu yang dianggap sebagai suspek utama kes ini.
"Berdasarkan beberapa bukti dan penemuan, kita kini sedang menyiasat teman wanita mangsa yang dipercayai boleh membantu menyelesaikan kes pembunuhan warga British ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, mayat Andrew Micheal Murchie, 46, ditemui berbogel di atas lantai dan pemeriksaan juga mendapati tiada sebarang pecah masuk di rumah mangsa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, teman wanita mangsa dikatakan menghubungi polis kononnya dia menemui mayat dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar di leher.
Polis turut menemui sebilah pisau sepanjang 15 sentimeter berhampiran mangsa.
Teman wanitanya dikatakan tinggal serumah dengan mangsa sejak dua tahun lalu.
Mengulas lanjut beliau berkata, mayat lelaki itu belum dituntut oleh ahli keluarga, namun pihaknya telah menghubungi mereka sejurus selepas kejadian.
Sunday, March 7, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment