Thursday, March 4, 2010

Wanita dibunuh selepas disamun

TUMPAT 4 Mac 2010 - Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh dengan menggunakan senjata tumpul selepas disamun di rumahnya di Taman Harmoni, Kampung Berangan dekat sini pagi ini.

Mayat Siti Bidah Hussain, 56, yang merupakan ibu tunggal ditemui oleh jirannya, Tengku Maziah Tengku Muda, 60, kira-kira pukul 7.15 pagi dalam keadaan tertiarap di atas katil dengan kepalanya berlumuran darah dan ditutup dengan bantal.

Tengku Maziah berkata, kejadian itu disedarinya dan seorang lagi jiran, Mariam Jaafar, 52, selepas melihat almari pakaian dan solek dalam bilik mangsa berselerak.

"Saya kemudian meninjau di bahagian dapur rumah mangsa dan apabila saya tolak pintu dapur, ia tidak berkunci.

"Sebaik sahaja menemui mayat itu, saya menghubungi kedua-dua anak mangsa yang bekerja di Putrajaya dan Kuantan sebelum mendapatkan bantuan jiran yang lain untuk menghubungi pihak polis," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Tengku Maziah berkata, sebelum itu, kira-kira pukul 6.40 pagi, dia terdengar bunyi deringan telefon beberapa kali tetapi tidak dijawab dan mengesyaki sesuatu berlaku kepada mangsa.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, siasatan awal polis mendapati, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di belakang kepala setelah dipukul dengan senjata tumpul.

Katanya, pihaknya sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tumpat, Asisten Supritendan Mohd. Azmi Mohd. Ali di talian 09-7257223.

No comments:

Post a Comment