KUALA LUMPUR 4 Mac 2010 - Harga dadah di pasaran Asia Tenggara yang dikatakan lima kali ganda lebih tinggi berbanding di Iran, mendorong sindiket penyeludupan dari negara itu menjadikan negara ini sebagai transit.
Pengarah Jabatan Narkotik Iran, Hamid Reza Hossein Abadi berkata, harga pasaran bagi sekilogram dadah syabu di Iran adalah RM50,000, lebih rendah berbanding RM250,000 jika ia dijual di negara ini.
Katanya, faktor tersebut dikenal pasti menjadi punca utama peningkatan trend penyeludupan dadah ke negara ini dari Iran sejak awal tahun ini.
"Kebanyakan yang ditahan oleh Polis Malaysia bukanlah dalang utama (sindiket pengedaran dadah). Mereka kebanyakannya merupakan kurier dadah dan kali pertama masuk ke negara ini.
"Namun, bagi Polis Iran, Malaysia bukan tumpuan sebagai transit penyeludupan dan pengedaran dadah kerana negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Thailand, Indonesia, China dan Jepun turut berhadapan masalah yang sama," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kedutaan Iran di sini hari ini.
Sidang akhbar itu diadakan susulan mesyuarat bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Zul Hasnan Najib Baharudin di kedutaan tersebut, petang semalam.
Menurut beliau, hasil mesyuarat itu, beberapa persetujuan dicapai di antara polis kedua-dua negara.
Katanya, ia termasuk perkongsian maklumat, mengenal pasti identiti suspek yang dikehendaki, menubuhkan jawatankuasa kerja dan menganjurkan kursus bertindak bersama-sama.
Dalam pada itu, Hamid Reza memberitahu, sindiket penyeludupan dadah yang melibatkan warga Iran itu dipercayai menggunakan kemudahan Internet bagi menjalankan kegiatan mereka.
Jelasnya, kemudahan tersebut digunakan untuk berkomunikasi, membuat permintaan bekalan dadah, menghantar invois harga serta memberi maklumat berhubung sistem keselamatan di lapangan terbang antarabangsa.
"Selain itu, sindiket terbabit turut menunjukkan kaedah terkini penyeludupan yang boleh digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"Malah, kumpulan itu juga mencari individu-individu yang layak dijadikan kurier dadah. Antara ciri-ciri disasarkan mereka ialah golongan penganggur, bergaji rendah serta tidak berpendidikan tinggi," katanya.
Sementara itu, pihaknya turut mempertingkatkan kawalan keselamatan di sempadan negaranya terutama dengan Afghanistan yang dikenal pasti pengeluar utama dadah ke negaranya.
"Kira-kira 93 peratus dadah yang diperoleh di Iran dibawa masuk dari Afghanistan dan keadaan ini amat membimbangkan," katanya.
Thursday, March 4, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment